
POLIS PAKAI BAJU GHILLIE SNIPER BERKAS PESALAH TRAFIK
Kalau selama ini anggota polis trafik biasanya melakukan operasi dengan berdiri di tepi jalan atau menggunakan kenderaan peronda, tetapi jabatan polis di New Jersey memilih pendekatan yang jauh lebih kreatif. Mereka menggunakan anggota yang memakai pakaian ghillie seperti seorang sniper untuk mengesan pemandu yang menggunakan telefon ketika memandu.
Operasi tersebut dilakukan oleh Dunellen Borough Police Department dengan menempatkan seorang anggota berhampiran sebatang pokok di salah satu jalan utama Dunellen. Dengan memakai sut ghillie dan menyamar di sebalik tumbuh-tumbuhan, anggota berkenaan menggunakan teropong untuk memerhatikan gelagat pemandu yang melalui kawasan tersebut.
Taktik penyamaran ala sniper itu sangat berkesan kerana dalam tempoh enam jam, polis berjaya mengeluarkan sebanyak 74 saman berkaitan kesalahan pemanduan terganggu atau distracted driving. Secara purata lebih 12 pemandu berjaya dikesan melakukan kesalahan setiap jam, bersamaan kira-kira seorang pesalah setiap lima minit.

Lebih kelakar, gambar operasi yang dikongsikan pihak polis turut menunjukkan seorang individu membawa walkie-talkie sambil memakai baju-T dengan tulisan besar “Not a Cop”. Nampaknya mereka memang bersungguh-sungguh mahu memastikan pemandu tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di kawasan berkenaan.
Walaupun kaedah memakai ghillie suit mungkin kedengaran keterlaluan, operasi tersebut menunjukkan betapa mudahnya perhatian seseorang pemandu teralih apabila menggunakan telefon. Jika anggota polis yang menyamar sebagai pokok pun langsung tidak disedari, bayangkan pula risiko mereka terlepas pandang kenderaan lain, penunggang motosikal atau pejalan kaki.
Penggunaan telefon ketika memandu sememangnya menjadi antara masalah keselamatan jalan raya yang serius. Kajian Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) sebelum ini turut mengaitkan penggunaan telefon ketika memandu dengan peningkatan risiko pelanggaran dari belakang dan kecenderungan memandu melebihi had laju.







