Buletin

BUGATTI PERKENAL YACHT ULTRA MEWAH, NINIETTE 66

Dalam kamus hidup golongan ultra kaya, seseorang itu belum cukup kaya jika belum memiliki sebuah kapal mewah atau yacht.

Menurut Presiden Bugatti, Wolfgang Durheimer, secara puratanya pemilik kenderaan Bugatti mempunyai 84 buah kereta, tiga jet dan sebuah yacht. Berdasarkan kepada kriteria terakhir itu, Bugatti kini menawarkan yacht ultra mewah untuk dipadankan dengan Chiron.

Dikenali sebagai Niniette 66, Bugatti memberitahu yacht yang sepanjang 50 hingga 80 kaki itu bakal dilancarkan dalam masa beberapa tahun lagi. Ia dibina oleh pembuat kapal mewah terkemuka dunia, Palmer Johnson yang berpangkalan di Monaco.

Dengan jenama Bugatti dan peralatan yang ditawarkan, Niniette 66 pastinya berharga jutaan dolar. Langkah Bugatti untuk menghasilkan yacht memang masuk akal juga kerana ia memang pernah ada pengalaman menghasilkan bot sebelum ini untuk Putera Carlo Maurizio Ruspoldi pada tahun 1930.

“Walaupun dari jauh ketika hendak memasuki pelabuhan, Niniette 66 mudah dikenali sebagai sebuah Bugatti sebenar,” kata Pengarah Reka Bentuk Bugatti, Etienne Salome.

Yacht itu dibina menggunakan komposit gentian karbon. Ruang utama master suite menampilkan kemasan kulit lembut, besi berkilat, bilik air dengan marmar dan dapur yang lengkap. Di atas dek pula, tetamu boleh menikmati jakuzi, bar champagne dan tempat memanggang.

Memandangkan Niniette 66 mempunyai draft yang cetek iaitu cuma empat kaki, ini membolehkannya belayar di Bahamas dengan pantas tanpa sebarang masalah. Yacht itu dijana oleh enjin marin MAN V8 dengan MJP waterjets yang menawarkan pecutan sehingga 44 knot atau 81km/j.

Bagi memastikan ia benar-benar eksklusif, produksi Niniette 66 dihadkan kepada 66 unit sahaja di seluruh dunia.

BACA: 250 BUGATTI CHIRON SUDAH DITEMPAH – PELANGGAN BAYAR RM11 JUTA WALAUPUN TANPA PANDU UJI 

BACA: BUGATTI VEYRON PALING MURAH DI DUNIA – EH MAAF, MAKSUD KAMI VERSI FORD

GALERI

Google ads
Back to top button