BuletinMotosikal

DUCATI PANIGALE R CAFE RACER “SI JERUNG BIRU”

Anda pernah tengok motosikal cafe racer? Tentu dah biasa kan? Cafe racer kini telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia kerana kegilaan manusia pada elemen retro yang ada padanya. Cafe racer sebenar merujuk kepada sekumpulan pelumba yang berlumba satu sama lain dari cafe ke cafe di England sekitar tahun 60-an. Cafe paling popular waktu itu ialah Ace Cafe di London yang masih wujud sehingga ke hari ini.

Kini kegilaan itu naik setingkat lagi dengan kemunculan Ducati Panigale R Cafe Racer yang diberi nama jolokan ‘The Blue Shark’. Ia juga dikatakan merupakan cafe racer terlaju di dunia.

Teraju utama di sebalik projek ini ialah CEO Parts World, Andy Matter. Beliau menyatakan yang idea untuk menghasilkan Jerung Biru ini datang peringkat demi peringkat. Pada awalnya beliau telah melayari beberapa laman web untuk mendapatkan ilham dan beliau dapati setakat ini masih belum ada lagi Panigale R yang ditukar statusnya kepada cafe racer.

Malah semua pakar-pakar Ducati merasa ragu-ragu dengan idea tersebut. Kebanyakannya menyatakan ia tidak patut dilakukan kepada sebuah model sportsbike paling cantik di dunia kerana ia akan menjejaskan rupanya.

Parts World merupakan  sebuah syarikat pengedar aksesori motosikal premier selepas jualan yang beroperasi di Switzerland. Beberapa syarikat lain turut bergabung untuk menjayakan projek ini antaranya ialah Ducati Zentralschweiz, Schaub Metalworks dan gergasi pengeluar ekzos terkenal, Akrapovic.

Ini bukan projek kecil-kecilan kerana Jerung Biru ini diasaskan daripada sebuah motosikal baharu dan bukannya unit terpakai. Ia dikeluarkan daripada ruang pameran Ducati Zentralschwiez dan terus ke “bilik bedah”. Walaupun motosikal ini merupakan motosikal yang paling cantik dan menjadi idaman ramai orang, ia segera ditogelkan sehingga ke bahagian kerangka logam di bahagian dalam.

Antara yang paling mencabar ialah bila didapati motosikal ini mempunyai ratusan wayar elektrik yang berselirat di bahagian bawah fairing merah rasmi Ducati. Ia mungkin merupakan halangan terbesar untuk sesiapa yang ingin mengubahsuai motosikal ini.

Namun bukan sesuatu yang aneh kerana Panigale R merupakan sebuah motosikal yang canggih dan moden. Banyak masa yang harus dikorbankan untuk menyusun kembali wayar-wayar ini dan menyembunyikannya daripada pandangan. Wayar ini bergantung pada sistem drive-by-wire, ABS, sistem kawalan pendikit, kawalan wheelie, dan macam-macam lagi. Paling penting semestinya ialah unit ECU yang cukup berkuasa, Bosch IMU.

Selepas berpuas hati dengan keadaan motosikal itu yang sudah kelihatan lebih teratur tanpa komponen-komponen plastik dan gentian karbon asal, Andy terpaksa mendapatkan khidmat pakar terbaik untuk menghasilkan rekaan badan berasaskan logam yang menjadi identiti cafe racer. Cabaran itu disahut oleh seorang pakar dalam kraflogam iaitu Raphael Schaub dari Schaub Metalworks.

Hasil kerjatangan Schaub jauh berbeza daripada keadaan asal motosikal tersebut yang dihasilkan dengan bantuan teknologi terkini. Schaub menghasilkan setiap bahagian logam motosikal ini dengan menggunakan tangan.

Tiada sebarang bantuan daripada pencetak 3D ataupun penghasilan model menggunakan CAD dilakukan. Dengan menggunakan kepingan aluminium setebal 2mm, Schaub membentuk setiap satunya dengan tangan. Kejayaan pertama dalam proses ini ialah bila beliau berjaya membentuk tangki minyak yang kelihatan cukup halus dan licin di bahagian luar tetapi lengkap dengan sudut-sudut dan bahagian kompleks di dalam khusus untuk EFI.

Hasilnya ialah tangki minyak yang kelihatan seperti dihasilkan pada tahun 1960 dengan dengan garisan yang selari serta lengkap dengan lekukan untuk lutut penunggang seperti cafe racer yang asli. Bukan senang sebenarnya untuk memadankan komponen baharu dengan kerangka asal Panigale R ni tetapi Schaub memang seorang pakar yang berkemahiran tinggi.

Pelana tunggal kini menggantikan tempat duduk asal dan kelihatan cukup kena dengan tangki minyak baharu Panigale R ini. Schaub turut menghasilkan sirip-sirip sisi yang kelihatan lebih hebat bila dipadankan dengan tangki minyak baharu itu.

Bukan hanya aspek visual malah aspek prestasi juga tidak dikompromi. Contohnya, ruang-ruang kemasukan udara turut diberi perhatian untuk menyisihkan suhu panas dari enjin. Untuk itu mereka telah menghasilkan ruang kemasukan udara baharu daripada logam bagi menggantikan unit asal yang dihasilkan daripada gentian karbon.

Menariknya ia kelihatan seperti mulut seekor jerung dan berfungsi memaksa udara masuk ke dalam kotak penapis udara. Di bahagian atas pula, lampu asal telah dikeluarkan dan digantikan dengan unit tunggal yang kelihatan lebih tradisional. Ia lengkap dengan skrin berwarna kuning agar kelihatan lebih retro.

Seterusnya ialah pemilihan warna, warna asal Ducati yang berwarna merah memang kelihatan kurang kena dengan kemasan asksesori yang berwarna kuning. Selepas perbincangan demi perbincangan akhirnya mereka bersetuju dengan warna biru gelap yang akan menyerlahkan komponen-komponen lain yang berwarna kuning. Contohnya lampu hadapan, skrin dan suspensi Ohlins.

Bahagian enjin dikekalkan sama seperti motosikal keluaran kilang untuk WSBK. Memang ia paling sesuai pun untuk cafe racer paling laju di dunia kerana enjin ini boleh dikatakan sudah cukup sempurna.

Tanpa rekaan fairing asal, ia memang cukup menakjubkan walaupun masih menggunakan sejukan cecair dan bukannya sejukan udara seperti sebuah cafe racer asli.

Satu lagi tarikan di sini ialah sistem ekzos Akrapovic yang dinamakan “Shotgun” dihasilkan khusus untuk motosikal ini. Pengedar Akrapovic di Switzerland telah berjaya mendapatkan bantuan terus dari kilang utama Akra untuk menghasilkan keseluruhan sistem ekzos untuk Jerung Biru ini.

Ia dihasilkan daripada titanium dan diuji oleh pelumba Ducati, Chaz Davies. Ia bukan hanya berbeza dengan ekzos lain di pasaran, malah memberikan kesan bunyi yang lebih menarik selain mampu menghasilkan semburan api dari belakang (takkan nak sembur ke depan pulak kan?)

Kelebihan Parts World sebagai pengedar jenama tersohor seperti Rizoma dan Kineo memudahkan lagi proses pengubahsuaian motosikal ini. Hasilnya ialah tangki simpanan bendalir brek yang cukup bergaya dan sepadan dengan gaya terbaru motosikal ini.

Bahagian suspensi belakang yang boleh dilaras sepenuhnya membolehkan penunggang memecut dengan penuh keyakinan tetapi ia juga mesti dipadankan dengan rim dan tayar baharu agar sesuai dengan penampilan cafe racer. Sepasang rim Kineo mengambil tempat rim asal dan mampu berfungsi dengan cemerlang bila digabungkan dengan tayar berteknologi tinggi. Namun pada masa yang sama ia masih menampilkan ciri-ciri retro khususnya bahagian lidi-lidi yang dikromkan.

Kelengkapan ekzos Akrapovic membolehkan motosikal ini berlumba di litar bila dipasang dengan tayar yang sesuai tetapi paling penting menurut Andy ialah motosikal ini boleh digunakan di jalan raya secara sah.

Tujuan utama beliau ialah untuk menghasilkan  sebuah cafe racer yang radikal tetapi boleh ditunggang bila-bila masa ke mana sahaja. Ia sememangnya sesuatu yang unik umpama sebuah lukisan terkenal yang memakan masa yang panjang dan keazaman yang tinggi untuk dihasilkan.

BACA: TAHUKAH ANDA ASAL-USUL CAFE RACER?

BACA: CAFE RACER HONDA CB TYPE II

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button