Buletin

FIA PERKENALKAN CERMIN KESELAMATAN BAHARU KERETA F1

Kereta F1 telah banyak berevolusi sejak dari mula ia diperkenalkan. Walaupun rupa asal masih kelihatan sama, banyak inovasi telah diperkenalkan untuk memastikan ia lebih selamat, baik untuk pemandu dan juga penonton. Kami tak kisah pun sebenarnya janji kelajuan kereta jangan berkurangan. Dah namanya pun race, kalau dah makin perlahan race apa bendanya.

FIA telah mula mengedarkan gambar cermin pelindung yang bakal dipasang pada kereta F1 sebagai peralatan perlindungan tambahan untuk pemandu. Ini merupakan peralatan terbaharu selepas alat yang dinamakan ‘Halo’ diperkenalkan atas tujuan yang sama. Halo direka khusus untuk melindungi bahagian kepala tetapi ia cuma berfungsi seperti roll cage dan tidak bertutup sepenuhnya.

Red Bull juga turut memperkenalkan versi mereka sendiri yang dinamakan ‘Aeroscreen’. Perlindungan kokpit memang dijadualkan untuk tahun 2017 tetapi telah dilanjutkan tempohnya kerana banyak ujian dan analisa yang mesti dilakukan sebelum penggunaannya diluluskan.

BACA: PETER SAUBER DAN KISAH F1 – SEJARAHNYA YANG PANJANG

Kini cermin perlindungan yang digelar dengan nama ‘The Shield’ telah diperkenalkan secara rasmi di GP Australia. Ia telah dilengkapkan pada kereta Williams F40 dan menunjukkan persamaan dengan Aeroscreen Red Bull. Bagaimanapun Aeroscreen Red Bull kelihatan sedikit memanjang ke bahagian hadapan.

Namun begitu, itu jelas kelihatan lebih menarik berbanding ‘Halo’ dan lebih elegan pula jika dibandingkan dengan Aeroscreen. Buat masa kini beberapa rekaan berbeza masih lagi dalam petimbangan FIA. Walaupun kelihatan seperti cermin kenderaan biasa ia sebenarnya dihasilkan daripada polikarbonat, material yang sama diguna untuk menghasilkan visor topi keledar.

BACA: JENTERA F1 LEWIS HAMILTON UNTUK DIJUAL

Perlindungan kokpit memang menjadi agenda utama FIA lebih-lebih lagi selepas insiden yang melibatkan kematian Jules Bianchi dan Justin Wilson. The Shield diharapkan dapat melindungi bahagian kepala pemandu dengan dengan lebih baik khususnya daripada serpihan dan objek-objek keras di atas permukaan litar. Ia juga berfungsi mengurangkan sedikit debaran para isteri dan awek pelumba-pelumba F1 sewaktu menyaksikan mereka berlumba. Bini mana tak risau kalau suami bawak kereta macam roket.

Cermin baharu ini juga akan diuji dipersekitaran terbuka dan juga tertutup. Mereka menjangkakan ia akan digunakan sepenuhnya sekitar bula September di Monza. Bagaimanapun versi R&D mungkin akan diperkenalkan lebih awal untuk diuji.

Ferrari juga dalam proses untuk menguji cermin baharu ini untuk mendapat maklum balas daripada jurutera dan juga para pelumba. Pasukan lain juga dijangkakan sedang giat menguji keupayaan alat ini pada kereta masing-masing.

Google ads
Back to top button