
PERLUMBAAN DI BAHRAIN DAN ARAB SAUDI BATAL! F1 TANGGUNG KERUGIAN RM600 JUTA
Dua perlumbaan awal musim Formula One di Timur Tengah bagi musim 2026 terpaksa dibatalkan susulan konflik berterusan di rantau itu yang menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.
Perlumbaan Bahrain Grand Prix yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain, Sakhir pada 10 hingga 12 April, serta Saudi Arabian Grand Prix di Jeddah pada minggu berikutnya tidak akan diteruskan selepas pihak penganjur membuat penilaian menyeluruh terhadap keadaan semasa.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali, keputusan tersebut bukanlah mudah tetapi perlu diambil demi keselamatan semua pihak yang terlibat.
Beliau menjelaskan bahawa keadaan keselamatan di Timur Tengah ketika ini tidak mengizinkan penganjuran perlumbaan bertaraf antarabangsa seperti F1, sekali gus memaksa badan pengelola menilai semula jadual perlumbaan musim ini.

“Ini keputusan yang sukar, namun ia adalah langkah yang tepat memandangkan situasi semasa di rantau tersebut,” katanya.
Dengan pembatalan tersebut, kalendar F1 musim 2026 kini dikurangkan kepada 22 perlumbaan. Ia turut mewujudkan jurang lima minggu antara Japanese Grand Prix pada 27 hingga 29 Mac dan Miami Grand Prix yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 Mei.
Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain, Sheikh Salman bin Isa Al Khalifa, berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat dan berharap perlumbaan itu dapat kembali dianjurkan apabila keadaan mengizinkan.
Dalam pada itu, Menteri Sukan Arab Saudi, Prince Abdulaziz bin Turki Al Faisal, menegaskan negara tersebut sebenarnya sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah perlumbaan di Jeddah seperti edisi-edisi sebelum ini.
Pembatalan dua perlumbaan berkenaan turut dijangka memberi kesan besar kepada kewangan sukan tersebut, dengan anggaran kerugian melebihi £100 juta (sekitar RM600 juta).
Yuran penganjuran daripada Bahrain dan Arab Saudi merupakan antara yang tertinggi dalam kalendar F1 dan hasil tersebut biasanya diagihkan kepada pasukan serta pihak pengurusan liga.
Situasi konflik di Timur Tengah sebelum ini juga menjejaskan perjalanan pasukan dan kru ke perlumbaan pembukaan musim di Melbourne apabila beberapa ruang udara di rantau tersebut ditutup, memaksa mereka mencari laluan alternatif.
Penganjur F1 dilaporkan turut mempertimbangkan beberapa litar lain sebagai pengganti, termasuk di Portugal, Itali dan Turki, selain kemungkinan menganjurkan satu lagi perlumbaan di Jepun.
Namun cadangan itu akhirnya tidak diteruskan kerana kesukaran logistik serta tempoh persiapan yang terlalu singkat.
Jurang masa yang terhasil dalam jadual perlumbaan kini memberi ruang kepada pasukan untuk menilai prestasi kereta masing-masing selepas tiga perlumbaan awal musim, selain membolehkan pihak F1 meneliti semula beberapa aspek peraturan baharu yang mula diperkenalkan tahun ini.
- BACA: GWM MALAYSIA LANCAR KEMPEN RAYA 2026, PELUANG MENANG PELBAGAI HADIAH MENARIK
- BACA: EA211 ENJIN TURBO HIBRID VOLKSWAGEN YANG “LIAR” BIASA
- BACA: ASEAN NCAP TARIK BALIK PENARAFAN 5 BINTANG PROTON X90. MODEL BARU 2026 DITURUNKAN KEPADA 1 BINTANG
- BACA: PEDAL MINYAK KERETA AUTO LAGI RENDAH DARI PEDAL BREK?







