Buletin

BYD SASAR SERTAI FORMULA 1, MAHU CABAR FERRARI DAN MCLAREN

Pengeluar kenderaan elektrik dari China, BYD dilaporkan sedang menimbang kemungkinan untuk menyertai kejuaraan Formula 1 bagi meningkatkan pengaruh jenamanya di peringkat global.

Menurut laporan media antarabangsa, syarikat itu sedang berbincang mengenai penyertaan dalam perlumbaan paling berprestij dunia itu, sekali gus berpotensi bersaing dengan pasukan legenda seperti Scuderia Ferrari dan McLaren F1 Team.

Langkah ini selari dengan strategi global BYD selepas syarikat tersebut menghentikan pengeluaran kereta enjin pembakaran dalaman sepenuhnya pada Mac 2022.

Kini, BYD memberi tumpuan sepenuhnya kepada kenderaan elektrik bateri (BEV) serta hibrid plug-in (PHEV).

Jika penyertaan ini menjadi kenyataan, BYD bakal menyertai senarai pendatang baharu dalam F1. Baru-baru ini, jenama Cadillac yang disokong oleh General Motors turut diumumkan akan menyertai grid perlumbaan.

Sejak lebih sedekad lalu, jentera F1 telah menggunakan sistem hibrid. Bermula musim 2026, peraturan baharu unit kuasa memperluaskan peranan tenaga elektrik, menjadikan sistem kuasa perlumbaan tersebut hampir 50 peratus bergantung kepada elektrik.

Melalui sistem MGU-K, kuasa elektrik yang dihantar ke roda belakang meningkat sehingga 350kW, jauh lebih tinggi berbanding sekitar 120kW sebelum ini. Sistem ini digandingkan dengan enjin V6 turbo 1.6 liter, menjadikan gabungan kuasa enjin dan motor elektrik sebagai teras prestasi jentera F1 moden.

Sekiranya menyertai F1, BYD berkemungkinan memanfaatkan teknologi daripada jenama mewahnya, Yangwang.

Model prestasi tinggi seperti Yangwang U9 menggunakan platform e⁴ dengan empat motor elektrik bebas, menghasilkan kira-kira 960kW (1,287hp) dan mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam sekitar 2.3 saat.

Buat masa ini, belum jelas sama ada BYD akan menyertai F1 sebagai pasukan baharu atau mengambil alih pasukan sedia ada seperti Alpine F1 Team.

Selain itu, BYD juga dikatakan berminat untuk menyertai perlumbaan ketahanan dunia, iaitu FIA World Endurance Championship.

Dalam masa sama, beberapa pengeluar China lain turut menunjukkan minat terhadap sukan permotoran global, termasuk Chery yang dikaitkan dengan perlumbaan 24 Hours of Le Mans.

Sementara itu, pembuat EV Nio telah lama terlibat dalam kejuaraan Formula E.

Walaupun semuanya masih di peringkat spekulasi, perkembangan ini menunjukkan semakin banyak pengeluar kenderaan China mula melihat sukan permotoran sebagai platform penting untuk memperkukuh imej teknologi dan jenama mereka di pentas dunia.

Google ads
Back to top button