Buletin

NISSAN NOTE ADALAH KERETA TERLARIS JEPUN TAHUN 2018

Nampaknya citarasa pengguna negara kita dan Jepun mempunyai persamaan, gemarkan kereta kompak atau hatchback bandar. Jika Perodua Myvi adalah kenderaan kegemaran tempatan, di Jepun pula Nissan Note pula menjadi pilihan.

Pada tahun lalu, sebanyak 136,324 unit Nissan Note terjual seterusnya menjadi kenderaan terlaris Jepun*. Salah satu sebab kenapa Note popular ialah nadikuasa elektrifikasi e-POWER yang jimat minyak dan mesra alam.

70 peratus pelanggan Note memilih varian e-POWER. Varian ini mula diperkenalkan di Jepun pada November 2016 dan sejak itu lebih 200,000 unit telah terjual.

Kredit/hakcipta foto: Nissan

e-POWER bukan sistem elektrik sepenuhnya. Sistem ini adalah gabungan nadikuasa elektrik dengan bateri yang dicas oleh enjin petrol.

Roda kereta digerakkan oleh motor elektrik dan ia ibarat memandu sebuah kenderaan elektrik (EV) iaitu tangkas, lancar dan lincah. Enjin petrol pula berfungsi untuk mengecas bateri ibarat sebuah penjana (generator).

Enjin yang digunakan kecil sahaja iaitu 1.2 liter tiga silinder HR12DE dan digabungkan dengan motor elektrik EM57 yang sama seperti Nissan LEAF. Bateri pula lebih kecil daripada LEAF iaitu 1.5 kWh.

Kredit/hakcipta foto: Nissan
Sistem e-POWER ini bukan untuk kenderaan kecil sahaja, pada Mac 2018 Nissan telah mula menawarkannya pada Serena. Van ini juga popular, pada 2018 sebanyak 99,865 unit telah terjual menjadikannya van (mini) nombor satu di Jepun.

Nissan Note (bukan e-POWER) adalah kereta global dan dijual di merata tempat seperti Asia, Amerika Syarikat dan Eropah. Paling dekat ialah di Thailand dan menariknya Edaran Tan Chong Motor membawa Note ke Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018.

Tidak pasti pula sama ada ETCM akan menjualnya dan jika ya, Note bakal bersaing dengan Proton Iriz, Perodua Myvi, Honda Jazz dan Kia Rio.

Kredit/hakcipta foto: Nissan

*Tidak termasuk kereta kei dan kereta asing

BACA: NISSAN SERENA NISMO INI BOLEH DIPESAN DENGAN KERUSI RECARO & TAYAR POTENZA RE003

BACA: NISSAN GT-R50 by ITALDESIGN SAH DIJUAL, BOLEH TEMPAH PADA HARGA…

Google ads
Back to top button