Artikel Pilihan

TOYOTA FAILKAN PATEN REKAAN BARU ENJIN V8 – KHAS UNTUK MODEL GR GT

Toyota sekali lagi memberi bayangan bahawa mereka belum bersedia meninggalkan dunia enjin pembakaran dalaman dan kali ini ia datang dalam bentuk sesuatu yang jauh lebih ekstrem. Melalui satu paten terbaru yang didedahkan, Toyota menunjukkan pendekatan teknikal yang cukup mendalam terhadap pembangunan enjin V8 baharu untuk jentera perlumbaan dan jalan raya mereka yang dikenali sebagai Toyota GR GT.

Apa yang didedahkan bukanlah keseluruhan enjin, tetapi satu komponen yang sering dianggap remeh iaitu sistem kemasukan udara atau air intake. Namun dalam kes ini, Toyota tidak sekadar mereka intake untuk fungsi asas sahaj. Sebaliknya Toyota membangunkan satu sistem yang memainkan peranan besar dalam keseluruhan karakter enjin tersebut, khususnya dari segi pembungkusan (packaging), respons, dan pusat graviti.

Berdasarkan lukisan paten, air intake ini direka dengan susun atur yang lebih padat dan rendah berbanding konfigurasi konvensional. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan enjin boleh dipasang serendah mungkin dalam casis. Dengan pusat graviti yang lebih rendah, kereta akan menjadi lebih stabil ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, ciri penting bagi sebuah jentera berasaskan perlumbaan.

Bagi setiap blok enjin, air intake ini direka dengan laluan udara yang mudah, dengan pergerakan udara dari sistem turbo, ke interccoler, throttle body dan akhir sekali ke intake manifold. Sistem ekzos, sistem intercooler dan throttle body juga akan dipasang dengan sensor tekanan untuk dijadikan input pada parameter enjin

Sistem intake ini juga direka untuk bekerjasama rapat dengan konfigurasi turbo enjin tersebut. Enjin yang dibangunkan ini dipercayai menggunakan susun atur hot-V di mana turbo diletakkan di bahagian tengah antara dua bank silinder V8.

Reka bentuk sebegini membolehkan laluan udara menjadi lebih pendek dan efisien, sekali gus membantu mengurangkan turbo lag dan meningkatkan respons pendikit. Dalam erti kata lain, kuasa bukan sahaja datang dengan lebih cepat, tetapi juga lebih konsisten.

Enjin berkapasiti sekitar 4.0 liter ini akan digandingkan dengan sistem hibrid, dengan sasaran output melebihi 650 PS dan 850 Nm. Walaupun angka ini sudah cukup mengagumkan, nilai sebenar terletak pada bagaimana enjin ini disepadukan dalam keseluruhan pakej kenderaan. Dari susun atur komponen hingga aliran udara, setiap aspek direka dengan teliti untuk memastikan prestasi maksimum tanpa mengorbankan keseimbangan.

Apa yang boleh disimpulkan daripada pendedahan paten ini ialah komitmen Toyota terhadap kejuruteraan yang mendalam dan berfokus kepada pemandu. Dalam era di mana banyak pengeluar mula beralih sepenuhnya kepada elektrifikasi, Toyota masih memilih untuk menolak had teknologi enjin pembakaran dalaman—bukan sekadar untuk kekal relevan, tetapi untuk membuktikan bahawa masih ada ruang untuk inovasi.

Jika projek GR GT ini benar-benar direalisasikan seperti yang dirancang, ia bukan sahaja akan menjadi sebuah supercar yang kompetitif, tetapi juga platform ujian bagi teknologi masa depan. Dan seperti kebiasaan Toyota Gazoo Racing, apa yang lahir di litar hari ini berpotensi untuk turun ke jalan raya esok.

Google ads
Back to top button