Buletin

PROTON SAGA R – PENCABAR BEZZA SUDAH SAMPAI

Umum tahu bahawa 2016 adalah yang paling sibuk buat PROTON kerana melancarkan bukan satu, tetapi EMPAT model serentak. Kalau senyap, memang diam membisu tanpa berita, sekali dia bangkit sampai empat kereta baru dilancar setahun.

Ia bermula dengan Proton Perdana yang dilancarkan pada bulan Ramadhan yang lepas. Ia model yang cukup hangat diperkatakan kerana secara asas, tiada kesinambungan dari model Perdana-Galant terdahulu. Menggunakan platform Honda Accord dengan rombakan rupa yang mengubah 360 darjah wajah asal Accord.

Dalam sesi pandu uji yang kami sertai beberapa minggu lalu, Datuk Ahmad Fuaad Kenali turut mengesahkan 3 lagi model yang bakal menyusul. Ketika Bezza menjadi fenomena dalam industri khasnya segmen sedan kompak, Proton tidak mahu ketinggalan dengan menampilkan Saga, model paling penting dalam garis sejarah syarikat ini.

Saga R (1)

Ini adalah foto risikan yang berlegar di ruang maya sejak semalam. Ia juga foto paling jelas yang memperlihatkan rupabentuk Saga generasi baru yang mengekalkan komposisi rekagaya sebuah Proton moden. Secara jujur, tanpa lambang harimau itu, mustahil untuk kita meneka ia sebuah Proton. Ditambah dengan garis bahu yang tidak pernah digunakan pada mana-mana model sebelum ini.

Khabarnya ia akan dikuasakan oleh enjin Campro 1.3 VVT yang digandingkan dengan kotak gear CVT atau 5 kelajuan manual. Persoalan penting sudah tentulah tentang harga. Pendapat kami, Ia harus datang dengan varian paling rendah untuk mencuri pasaran terlebih dahulu. Ia harus bermula serendah RM33,000 seperti model saga SV dan kemudian divariasikan pada model rangkaian lebih tinggi.

Saga R (3)

Selain Saga ini, Proton juga bakal memperkenalkan gantian Persona dan juga MPV lebih kecil dari model Exora. Khabarnya MPV Ertiga sudah mula disediakan oleh pihak Suzuki Indomobil Sales (SIS) dari Indonesia untuk dilancarkan pada Oktober nanti. Jika Ertiga pada Oktober, berkemungkinan besar Saga ini akan dilancarkan pada September.

Google ads
Back to top button