Buletin

ECONOMY CAR – USAHASAMA TATA MOTORS DAN VOLKSWAGEN

Volkswagen dan Tata Motors dikatakan dalam perbincangan untuk menghasilkan kereta bajet rendah untuk pasaran global. Diberi kod nama Kereta Ekonomi, ia dilihat sebagai poliferasi baru Volkswagen yang cuba meluaskan pasaran kenderaan penumpang mereka bagi negara-negara seperti China dan India.

Nano (2)

Tata Motors telah membuktikan mereka boleh membina sebuah kereta murah dengan kos efektif. Tata Nano, membuktikan bahawa dengan harga sebuah motosikal kelas pertengahan, pilihan pengguna boleh diperluaskan dengan sebuah kereta penumpang kecil. Harga jualan sebuah Nano di Eropah ialah sekitar RM13,500 dan sudah tentu VW mahu berkongsi kepakaran Tata Motors.

Ameo

Kereta VW paling kecil hari ini ialah Ameo, direka khas untuk pasaran India. Namun dengan teknologi piawai Volkswagen, kenderaan ini berharga sekitar RM30,000 yang masih dikelaskan mahal oleh negara-negara membangun. Ia tidak mampu bersaing dengan model Tata Tiago sekalipun dengan harga 20 – 30 peratus lebih murah.

Perbincangan masih diteruskan. VW dan Tata memiliki fasiliti berskala besar yang terletak berhampiran antara satu sama lain di daerah Pune, India. Sudah tentu ia memudahkan perkongsian teknologi dan logistik jika kerjasama ini dapat direalisasikan bersama.

Features-PNG

Mereka dikatakan mensasarkan pasaran untuk model SUV bajet rendah, hatchback dan sedan saiz kecil dalam julat harga 5,000 Euro hingga 8,000 Euro (RM22,000 – RM35,000). Kepakaran Tata ialah menghasilkan kereta dengan kos rendah dan reputasi rangkaian VW di seluruh dunia adalah satu kelebihan untuk memastikan produk-produk ini dilaraskan dengan sempurna.

VW pernah mengadakan perbincangan serius dengan Proton tak lama dahulu. Ia hampir mencapai kata putus yang positif namun atas sebab-sebab yang tidak diketahui, perbincangan ini gagal di tengah jalan.

Realitinya, dunia semakin pesat dan teknologi boleh dihasilkan dengan harga yang murah. Contohnya sudah jelas, dalam perniagaan ini kita boleh meletakkan penanda aras produk dan jualan. Pilih samada untuk menjadi seperti Tata atau Porsche. Jual dalam jumlah besar produk-produk murah atau jualan sedikit untuk produk premium.

 

Google ads
Back to top button