Buletin

RALI DAKAR? PEUGEOT 3008 DKR 2017 SUDAH BERSEDIA!

Bakal didedahkan secara rasmi pada acara Paris Motor Show 2016 bulan depan, jentara rali Peugeot 3008 DKR merupakan pengganti kepada model Peugeot 2008 DKR. 

Peugeot 3008 DKR

Memulakan saingan pada Januari 2017, kereta itu dibina berasaskan kepada SUV Peugeot 3008 generasi kedua. Dengan penampilan begitu garang, ia dikuasakan oleh enjin diesel twin turbo V6 bersesaran 3.0 liter.

Penambahbaikan pada bahagian suspensi (geometri dan peredam), pendingin hawa dan ketahanan pasti dapat membantu Peugeot untuk mencatat kemenangan pada tahun depan.

Peugeot 3008 DKR

Biarpun peraturan baru Dakar memerlukan pengeluar kenderaan menggunakan pengehad udara lebih kecil iaitu 38mm, Peugeot menegaskan bahawa kehilangan kuasa sebanyak 15kW tidak membuatkan kereta lumbanya lebih perlahan.

Sebaliknya, dengan kuasa tork yang mampu diperoleh pada julat rev lebih rendah, jentera tersebut dikatakan lebih senang dikendalikan dan semakin laju.

Peugeot 3008 DKR disifatkan sebagai ekspresi SUV terkini Peugeot yang paling ekstrem. Ia mengekalkan reka bentuk tersendiri sebuah kenderaan jalanan, tetapi dioleh dengan konsep rali.

Team Peugeot-Total new Peugeot 3008 DKR reveal

“Sasaran kami adalah untuk menguatkan semua elemen kurang menyerlah pada Peugeot 3008. Pada masa yang sama meningkatkan semua kekuatan agar ia lebih menyerlah,” kata Pengarah Pasukan Peugeot Total, Bruno Famin.

Disifatkan sebagai perlumbaan paling sukar di dunia, Rali Dakar melibatkan perjalanan berkelajuan tinggi sejauh 10,000 kilometer. Jentera lumba ini perlu menempuh laluan altitude tinggi, berhabuk dan kasar. Sekali gus meletakkan kenderaan dalam ujian yang sangat mencabar.

Peugeot 3008 DKR bakal dikendalikan oleh pelumba rali berpengalaman dari Perancis, Stephane Peterhansel yang sebelum ini berjaya membawa 2008 DKR ke podium.

Rali Dakar 2017 bermula pada 2 Januari 2017 melibatkan perjalanan merentasi  Argentina, Bolivia dan Paraguay.

Google ads
Back to top button