Artikel Pilihan

ARIEL ATOM P- GUNA TEKNOLOGI YANG DIHARAMKAN F1 UNTUK TINGKATKAN DOWNFORCE.

Ariel ni suka betul buat benda-benda larangan. Melampau betul. Ini bukan cerita pasal Ariel Peter Pan tetapi cerita pasal syarikat Ariel, pengeluar kereta Atom yang nampak tulang selangka tu (Kami masih mabuk daging korban). Ariel baru-baru ini memperkenalkan model konsep yang dinamakan Atom-P.

Kebanyakan mereka yang membeli model Atom ini menjadikannya kereta khas untuk “track day” pada hujung minggu. Maklumlah kereta ni tiada bumbung, dan kalau dibawa dalam bandar Kuala Lumpur ni mau berkilo debu masuk dalam mulut sebelum sampai pejabat. Kini mereka dalam proses menyiapkan Atom terkini yang dinamakan Atom-P. Atom-P kini menjadi bualan di kalangan penggiat automotif kerana memperkenalkan kembali teknologi rahsia.

BACA – BMW PERKENAL TEKNOLOGI LAMPU LASER

BACA – PERKONGSIAN TEKNOLOGI TOYOTA & SUZUKI

Teknologi yang dimaksudkan ialah pemasangan dua kipas di bahagian bawah kereta untuk meningkatkan downforce pada kereta sewaktu mula bergerak dan memecut di selekoh. Teknologi ini pernah digunakan oleh dua kereta lumba F1 popular suatu ketika dulu sekitar tahun 1978, Chaparral 2J dan Brabham BT46B.

Mereka menggunakan kipas elektrik di bahagian bawah cesi untuk memastikan kereta tersebut “melekat” di permukaan litar. Kipas-kipas ini akan menghasilkan downforce yang diperlukan sekaligus meningkatkan pecutan dan membolehkan pengambilan selekoh yang pantas. Malangnya, kedua kereta tersebut telah dilarang daripada menyertai perlumbaan kerana terlalu laju.

ariel atom (3)

Sehingga sekarang, teknologi ini belum pernah digunakan untuk kereta-kereta jalanan, tetapi syarikat Ariel dari UK akan mengujinya buat pertama kali. Mereka mungkin akan memberi ilham baru kepada penghasilan kereta-kereta jalanan di masa hadapan. Sekarang pun banyak teknologi perlumbaan yang dilengkapkan pada kereta-kereta biasa. Inspirasi mereka tentulah daripada rekaan Chaparral dan Brabham.

Biasanya downforce sesebuah kereta ditambah dengan penggunaan spoiler ataupun kekisi pada bahagian badan kereta tetapi Ariel menggantikannya dengan penggunaan dua kipas elektrik di bahagian bawah badan kereta. Kipas-kipas ini cuma akan berfungsi bila diperlukan. Ia juga dilengkapkan dengan skirting diperbuat daripada getah di sekeliling bawah badan sama seperti rekaan Barbham.

Ariel menyatakan kipas-kipas ini meningkatkan tahap ekonomi bahan bakar dan mengurangkan pengeluaran gas ekzos. Ia berjaya dilakukan dengan mengurangkan seretan yang biasa dihasilkan oleh spoiler konvensional dan pada masa yang sama meningkatkan pecutan, kuasa brek dan kawalan pemanduan. Apatah lagi bagi sebuah model exoskeleton seperti Ariel Atom ini, penggunaan spoiler dan sirip sisi akan menambah tarikan drag seterusnya mengurangkan kelajuan maksima.

Menurut Simon Saunders, bos Ariel, “Anda akan dapat melihat kelegaan bumi kereta ini semakin kecil bila sistem ini dihidupkan, jadi anda tahu bahawa sistem ini sedang berfungsi. Sistem ini juga mampu berfungsi sewaktu kereta ini dalam keadaan statik untuk membantu pecutan permulaan”.

ariel atom (2)

Buat masa ini kalau anda ada duit yang banyak pun tiada guna kerana ini masih di peringkat konsep. Tetapi Ariel amat komited dalam menjadikan model ini kenyataan. Bagi pengeluar kenderaan berskala kecil seperti Ariel, menghasilkan kereta berprestasi tinggi yang menjimatkan petrol dan mengurangkan keluaran gas ekzos merupakan satu keperluan.

Penggunaan teknologi larangan dalam perlumbaan sememangnya satu langkah yang radikal, tetapi setakat ini model-model yang dihasilkan oleh Ariel sememangnya cukup luar dari kebiasaan. Untuk rekod, mereka baru sahaja menandatangani persefahaman meneruskan penggunaan enjin Honda dalam kereta buatan mereka.

Kami cukup berharap untuk melihat teknologi ini menjadi kenyataan suatu hari nanti. Bila ia mula dipasarkan, jangan terkejut jika lepas ni kita dapat lihat kedai-kedai aksesori kenderaan akan mula memasarkan kipas untuk dilekatkan di bahagian bawah badan kereta. Silap-silap untuk Axia pun ada.

Ingat tak lampu neon berwarna warni bawah kereta yang popular selepas filem The Fast and The Furious dulu? Rosyam Nor pun pasang kat TZM dalam filem KL Menjerit tau.

 

 

 

Google ads
Back to top button