Buletin

GRAB MALAYSIA PERKUKUH AGENDA EV MELALUI PERKONGSIAN INDUSTRI

Grab Malaysia terus mengorak langkah dalam mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di negara ini menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies (M), dan Power-Up Tech (P.UP).

Usaha ini bertujuan memperluas akses rakan-pemandu Grab kepada EV serta membangunkan infrastruktur sokongan yang lebih mampan, sejajar dengan matlamat negara ke arah ekonomi hijau dan pengurangan pelepasan karbon.

Dengan kerjasama ini, Grab Malaysia berharap dapat menawarkan pilihan EV pada harga lebih kompetitif kepada pekongsi fleet dan rakan-pemandunya, selain memperkukuh pembangunan rangkaian pengecasan di lokasi strategik.

Antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan termasuk:

  • Memperluas Penggunaan EV – Grab Malaysia merancang untuk memperkenalkan lebih banyak EV ke dalam platformnya, menawarkan kadar sewaan istimewa dan harga eksklusif kepada rakan-pemandu yang ingin beralih kepada kenderaan mesra alam ini.
  • Meningkatkan Kemudahan EV – Rakan-pemandu akan menikmati akses lebih mudah kepada kemudahan pengecasan, selain menerima latihan dan sokongan penyelenggaraan bagi memastikan kelancaran operasi.

Menurut Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor, syarikat ini komited untuk mengurangkan jejak karbon sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti pemandu.

“Sebagai penyedia perkhidmatan mobiliti utama, kami percaya kerjasama ini dapat mempercepatkan penggunaan EV dalam industri e-hailing. Dengan sokongan daripada rakan industri terkemuka, kami yakin bahawa usaha ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti dan alam sekitar,” katanya.

Grab Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan dan pemegang taruh lain bagi memastikan peralihan ke arah mobiliti hijau berjalan lancar.

Inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian negara, malah membuka peluang kepada rakan-pemandu untuk menjana pendapatan dengan lebih cekap dan mesra alam.

Dengan usaha berterusan ini, Grab Malaysia yakin dapat membantu membentuk masa depan pengangkutan yang lebih lestari di Malaysia.

Google ads
Back to top button