Buletin

CEO BARU PROTON AKAN DILANTIK TAK LAMA LAGI – STRUKTUR OPERASI SYARIKAT DISUSUN SEMULA

Susulan dari spekulasi mengenai perlantikan CEO baru Proton, DRB-HICOM dalam satu kenyataan media rasmi pada hari ini memberitahu Proton bersama rakan strategik mereka, Geely akan mengumumkan CEO baru tidak lama lagi.

Dalam kenyataan sama, DRB-HICOM juga memaklumkan bahawa Datuk Ahmad Fuaad Kenali akan melepaskan jawatan sebagai CEO Proton. Ia akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 30 September 2017.

Tiada perubahan pada posisi pengurusan kanan syarikat tersebut. Jawatan Timbalan CEO Proton masih kekal diterajui oleh oleh Datuk Mohd Radzaif Mohamed. Sementara itu, En Abdul Rashid Musa yang dilantik sebagai CEO Proton Edar Sdn Bhd pada Februari 2017 lalu juga mengekalkan posisinya menerajui bahagian pengedaran di bawah PESB.

BACA: SIAPA CEO BARU PROTON?

Kumpulan Proton kini diterajui oleh Dato’ Sri Syed Faisal Albar sebagai Pengerusi Proton Holdings Berhad (PHB). Struktur baru ini menyaksikan pembahagian rancangan operasi yang lebih mantap. Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), 100% anak syarikat PHB berperanan sebagai syarikat induk pengeluar, operasi, pembuatan dan pemasaran utama.

Di bawah PHB juga ialah PROTON Edar Sdn Bhd (PESB) yang bertindak sebagai pengedar utama kereta Proton.

Proses memuktamadkan perjanjian yang ditandatangai pada Mei lalu juga sudah memasuki fasa kedua di mana barisan lembaga pengarah baru juga akan diumumkan tidak lama lagi.

Fasa seterusnya ini juga menyaksikan pelan yang lebih jitu bagi menentukan halatuju gabungan penting dalam sejarah industri automotif negara ini. Ia meliputi strategi pemasaran untuk penghasilan model baru untuk pasaran global.

Sebagai rakan strategik yang berkemampuan, Geely Holding bakal berkongsi kepakaran mereka dalam pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran, terutamanya di PONSB.

 

 

Google ads
Back to top button