Buletin

DR. LI CHUNRONG KINI CEO PROTON, BEKAS CEO SKODA, WINFRIED VAHLAND DILANTIK LEMBAGA PENGARAH

Sejak Proton menandatangani persefahaman dengan rakan strategik asing Zheejiang Geely Holding Group pada Jun lalu, peringkat pengurusan syarikat ini telah mengalami beberapa perubahan. Awal bulan ini, posisi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton yang disandang Dato Ahmad Fuaad Kenali dikosongkan.

Desas-desus mengenai pertukaran CEO ternyata benar bilamana hari ini dalam satu sidang media khas DRB-HICOM BERHAD bersama ZHEJIANG GEELY HOLDING mengumumkan barisan pengurusan yang baru. Selepas 98 hari menandatangani persefahaman bersama, Proton kini diketuai oleh Li Chunrong sebagai CEO yang baru berkuatkuasa 1 Oktober depan.

BACA : KENALI GEELY DENGAN LEBIH DEKAT

Media dari China menyebut Li Chunrong sebagai calon terbaik menerajui posisi CEO Proton. Tokoh automotif berpengaruh berusia 53 tahun itu berhijrah dari Dongfeng-Honda Engine Co Ltd dan menyertai Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd beberapa bulan lepas.

Li bukanlah individu asing dalam sektor automotif China. beliau memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam industri berkaitan, terutamanya sejak menyertai Kumpulan Dongfeng pada tahun 1987.

Sebelum menduduki posisi pengurusan kanan syarikat sebagai naib presiden eksekutif Dongfeng-Honda, beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan pengurus Dongfeng Yueda Kia Motor Co Ltd.

Li juga bertanggungjawab sebagai pengurus besar bahagian kereta penumpang Dongfeng dan menjadi penyelia peringkat Kumpulan Dongfeng. Kerjaya beliau berkembang sejak menduduki ahli lembaga pengarah Dongfeng Automobile Co Ltd.

Beliau pernah dilantik sebagai timbalan pengurus besar Dongfeng Yueda Kia Motor Co Ltd, pengurus besar bahagian kereta penumpang Dongfeng, penyelia Dongfeng Group serta timbalan pengarah dalam lembaga pengarah Dongfeng Automobile Co Ltd.

Beliau turut dibantu oleh nama-nama besar dalam industri. Bekas Ahli Lembaga Pengarah dan CEO Skoda Auto, Winfried Vahland tersenarai sebagai ahli lembaga pengarah yang baru. Berpengalaman lebih 30 tahun dalam sektor automotif, Vahland pernah menjadi Presiden dan CEO di China dan berkhidmat sebagai Naib Presiden Global bagi jenama Volkswagen Auto.

Jawatan Timbalan CEO Proton masih kekal diterajui oleh oleh Datuk Mohd Radzaif Mohamed. Sementara itu, En Abdul Rashid Musa yang dilantik sebagai CEO Proton Edar Sdn Bhd pada Februari 2017 lalu juga mengekalkan posisinya menerajui bahagian pengedaran di bawah PESB.

Dato’ Sri Syed Faisal Albar kekal sebagai sebagai Pengerusi Proton Holdings Berhad (PHB) tetapi dibantu oleh enam lembaga pengarah yang baru iaitu Shaharul Farez Hassan, Amalanathan Thomas, Daniel Donghui Li, Dr. Nathan Yu Ning dan Feng Qing Feng.

Proton kini sudah memasuki fasa baru menerusi perlantikan barisan ahli lembaga pengarah ini. Dr Li dalam kenyataan hari ini juga memberitahu mereka yakin dapat membawa Proton kembali ke zaman kegemilangannya.

Proton merancang akan mengeluarkan SUV Proton saiz sederhana menerusi model  Geely Boyue menjelang penghujung tahun 2018. Sejajar dengan itu, beliau turut yakin untuk membawa Proton lebih jauh dengan meletakkan sasaran sebagai pembuat kereta ke tiga terbesar di wilayah ASEAN.

Google ads
Back to top button