Buletin

SUV LOTUS MUNGKIN AKAN DIHASILKAN DALAM MASA TERDEKAT – ADAKAH SUV PROTON TURUT BAKAL MENYUSUL?

Nampaknya SUV Lotus mungkin akan menjadi kenyataan sebaik syarikat tersebut di beli oleh Geely baru-baru ini. Model konsep yang dinamakan Lotus APX ini sudah dihasilkan sejak sedekad lalu tetapi gagal direalisasikan akibat kantung syarikat yang tidak beberapa kukuh.

Lotus sudah banyak kali membayangkan yang ia akan mengeluarkan SUV yang setanding dengan Porsche Macan. Ia merupakan pilihan yang lebih bijak berbanding mengeluarkan SUV bersaiz penuh yang memang bukan kepakaran mereka.

Kedudukan kewangan Lotus kini sudah semakin kukuh dengan pengenalan pelbagai model istimewa varian Elise, Exige dan Evora. Mungkin inilah masa yang terbaik untuk Lotus memasuki gelanggang para pengeluar SUV.

BACA: INILAH WAJAH SUV PERTAMA PROTON – GEELY BOYUE BUAT PENAMPILAN SULUNG DI MALAYSIA

Pada bulan Mei lepas, syarikat pengeluar kereta gergasi China telah membeli saham-saham DRB-Hicom dalam Lotus sekaligus membuka pintu kerjasama antara Lotus dan Geely. Geely akan mendapat faedah akses kepada teknologi Lotus yang berpengalaman luas dalam bidang perlumbaan dan telah menghasilkan pelbagai jentera perlumbaan. Lotus pula boleh menerima tambahan modal untuk R&D dan peluang memasuki pasaran China, satu pasaran di mana SUV merupakan pilihan yang sangat popular.

Awal tahun ini CEO Lotus, Jean-Marc Gales berkata, SUV mungkin menjadi satu pilihan yang menarik kepada barisan model sedia ada Lotus. Tapi menurut beliau ia mungkin menjadi kenyataan dalam masa empat ke lima tahun akan datang. Tapi dengan sokongan Geely tidak mustahil yang kita akan dapat melihat SUV Lotus dalam masa yang terdekat.

Bukan itu sahaja, siapa tahu mungkin Proton yang turut berada di bawah payung Geely akan turut menerima tempias dan seterusnya menghasilkan SUV sendiri.

Google ads
Back to top button