Artikel Pilihan

HANYA 173 UNIT CYBERTRUCK RWD TERJUAL, DAN SEMUA KENA RECALL

Satu lagi isu keselamatan serius timbul untuk model Tesla Cybertruck dan kali ini ia melibatkan varian pacuan roda belakang (RWD). Model ini yang menggunakan rim besi 18 inci asas, didapati mempunyai potensi kecacatan pada komponen brek, khususnya rotor brek.

Masalah utama berpunca daripada lubang stud pada rotor brek yang boleh retak. Dalam situasi tertentu seperti beban tinggi ketika membelok atau permukaan jalan yang tidak rata, retakan ini boleh menyebabkan sambungan antara roda dan hub menjadi lemah. Dalam situasi paling teruk, ia berisiko menyebabkan roda tercabut daripada kenderaan ketika sedang dipandu.

Isu ini juga bukan terhad kepada unit yang dihasilkan di Gigafactory Texas sahaja. Pusat servis Tesla turut menggunakan rotor yang sama sebagai alat ganti, bermakna kecacatan ini juga boleh berlaku selepas kerja pembaikan dilakukan. Dalam banyak kes, rotor gantian ini dipasang kerana masalah retakan yang sama, kadangkala selepas pelanggan melaporkan getaran pelik pada brek.

Sehingga recall ini diumumkan, Tesla menyatakan mereka hanya mengetahui tiga tuntutan waranti yang “mungkin berkaitan” dengan kegagalan ini. Mujurlah, setakat ini tiada laporan kemalangan, kecederaan atau kematian yang dikaitkan dengan isu rotor brek dan wheel stud ini.

Sebagai langkah penyelesaian, Tesla telah membangunkan reka bentuk baharu untuk rotor dan hub roda yang meningkatkan kawasan sentuhan antara komponen dan roda. Reka bentuk ini bertujuan mengurangkan beban tekanan yang menyebabkan kegagalan pada rotor asal.

Selain itu, Tesla turut memperkenalkan lug nut baharu dengan salutan geseran lebih tinggi bagi memastikan daya ketat (torque) kekal stabil walaupun di bawah beban tinggi.

Notis recall mula dihantar kepada pemilik bermula 24 April, namun alat ganti yang diperlukan masih belum tersedia dalam stok. Pemberitahuan rasmi berkaitan pembaikan dijangka hanya akan dikeluarkan sekitar 20 Jun

Pihak berkuasa menerusi NHTSA telah memaksa Tesla mengeluarkan arahan recall untuk unit-unit terlibat. Penyelesaian yang ditawarkan termasuk penggantian komponen seperti rotor brek, hub roda dan nat lug dengan versi yang telah ditambah baik dari segi reka bentuk dan ketahanan.

Namun arahan recall dari NHTSA ini bukan sekadar isu teknikal semata-mata. Dokumen recall turut mendedahkan sesuatu yang agak mengejutkan ramai pemerhati dimana data jualan varian RWD Cybertruck sebenarnya sangat rendah.

Malah, jumlah unit yang terlibat dalam recall ini dikatakan sangat kecil, memberi gambaran bahawa model ini kurang mendapat sambutan berbanding varian lain.

Varian Tesla Cybertruck RWD ini sendiri sebelum ini sudah dikritik kerana terlalu asas berbanding harga yang ditawarkan. Ia tidak dilengkapi beberapa ciri penting seperti suspensi udara, penutup cargo automatik, dipasang dengan rim besi 18 inci sahaja dan beberapa fungsi premium lain, walaupun harga masih dianggap tinggi oleh ramai pemerhati industri.

Sebanyak 173 unit sahaja unit ini terjual di seluruh Amerika, menggambarkan model ini menjadi terlalu sejuk waima untuk pasaran besar seperti Amerika sekalipun ia dijual 10,000 USD lebih murah berbanding dengan varian kedua termahal. Selepas setahun diperkenalkan, varian asas ini ditamatkan pengeluaran secara tergesa-gesa.

Google ads
Back to top button