Artikel Pilihan

KENAPA TAYAR BELAKANG TERKANGKANG?

Kalau diperhatikan dengan teliti, kebanyakan kereta moden termasuklah yang baru keluar dari kilang memiliki simptom tayar belakang yang sedikit “terkangkang” apabila dilihat dari belakang. Keadaan ini bukanlah kecacatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tetapan kejuruteraan yang dikenali sebagai negative camber

Fenomena negative camber ini menerangkan keadaan dimana apabila bahagian atas tayar condong masuk ke dalam berbanding bahagian bawah. Manakala tayar di bahagian bawah seperti terkeluar sedikit dari badan kereta menghasilkan fenomena seperti terkangkang

Tapi jangan risau sebab terdapat penjelasan munasabah berkenaan dengan pemerhatian ini.

Secara umum, sudut camber untuk kereta standard biasanya berada dalam julat sekitar -0.5° hingga -2.0°, bergantung kepada jenis suspensi dan talaan pengeluar. Nilai ini mungkin nampak kecil di atas kertas, tetapi secara visual ia cukup untuk membuatkan tayar kelihatan sedikit senget apabila dilihat dari belakang.

Pengeluar kereta memang sengaja menetapkan sedikit negative camber pada bahagian belakang kerana ia memberi kelebihan dari segi kestabilan dan cengkaman. Apabila kereta mengambil selekoh, badan kenderaan akan condong ke arah luar (body roll), menyebabkan tayar luar menerima beban yang lebih besar.

Dalam keadaan ini, sudut camber yang negatif akan membantu memastikan keseluruhan permukaan tayar berada lebih rata di atas jalan. Tanpa camber negatif, tayar cenderung untuk hanya menggunakan bahagian luar sahaja ketika membelok, yang mengurangkan cengkaman.

Dengan adanya sudut sekitar -1.0° hingga -1.5° pada belakang, permukaan tayar berada pada tahap maksimum ketika berada di bawah beban di selekoh, lalu memberikan kestabilan yang lebih baik dan mengurangkan kecenderungan untuk bahagian belakang menjadi tidak terkawal.

Atas sebab itulah bahagian belakang biasanya diberikan camber yang sedikit lebih jelas berbanding bahagian depan, tujuannya adalah untuk memastikan kereta kekal stabil, bukan terlalu agresif. Malah suspensi ringkas seperti torsion beam juga datang dengan rekaan sebegini.

Walaupun torsion beam sering dianggap sebagai sistem suspensi yang ringkas, ia tetap direka dengan sedikit sudut camber dari kilang. Dalam kebanyakan kes, nilai camber untuk torsion beam berada sekitar -0.5° hingga -1.0°, cukup untuk membantu kestabilan tanpa menjejaskan kehausan tayar secara berlebihan.

Torsion beam itu sendiri tidak semestinya lurus sepenuhnya. Ia direka dengan sudut tertentu pada mounting point supaya tayar sudah mempunyai sedikit kecondongan sebaik sahaja dipasang. Sifat torsion beam yang boleh berpintal sedikit apabila menerima beban atau ketika mengambil selekoh membolehkan perubahan kecil pada sudut camber berlaku secara semula jadi.

Walaupun perubahannya tidak sebesar sistem multi-link, ia tetap memberi kesan kepada cara tayar berinteraksi dengan permukaan jalan. Selain itu, kehadiran bush getah pada sambungan suspensi juga memainkan peranan. Bush ini membenarkan sedikit pergerakan, yang membantu menyerap hentakan dan pada masa yang sama memberi sedikit fleksibiliti kepada geometri tayar.

Google ads
Back to top button