Buletin

GELARAN SUPERCAR PALING LAJU KINI MILIK PORSCHE 911 GT2 RS

Litar Nurburgring memang menjadi medan ujian kelajuan bagi semua pengeluar supercar. Jika sebelum ini rekod catatan sepusingan terlaju adalah milik Lamborghini dengan model Huracan Performante mereka, kini rekod tersebut telah diatasi oleh Porsche dengan menggunakan 911 GT2 RS.

Sebenarnya bukan hanya satu gelaran sewajarnya dianugerahkan kepada GT2 RS, ia juga boleh dianggap sebagai model pacuan belakang (RWD) paling laju di litar yang diberi nama jolokan Green Hell itu.

GT2 RS berjaya mencatatkan masa 6 minit 47.3 saat di litar sepanjang 20.6 kilometer itu. Ini juga bermakna ia berjaya mengatasi Huracan Performante dengan perbezaan 4.71 saat. Dengan kejayaan itu, GT2RS masih ketinggalan 1.4 saat kepada NexEV NiO EP9, supercar berkuasa elektrik yang memegang rekod kelajuan terpantas bagi kategori supercar. Bagi supercar dengan enjin pembakaran dalaman pula GT2 RS berada pada kedudukan pertama diikuti Huracan Performante. Rekod ini juga melebihi sasaran awal Porsche.

Pada peringkat awal, mereka mensasarkan catatan masa 7 minit 5 saat untuk GT2 RS ini. kejayaan mencatatkan masa yang jauh lebih baik ini adalah hasil penat lelah para jurutera, mekanik dan pemandu yang berkerja dalam satu pasukan secara luar biasa, demikian menurut Frank-Steffen Walliser, Timbalan Presiden Porche (Motorsports dan GT Cars).

BACA: PORSCHE NYATAKAN MINAT UNTUK MENJADI PEMBEKAL ENJIN KERETA FORMULA SATU

Porsche turut meraikan kejayaan itu bersama-sama dengan dua orang pelumba mereka yang memandu dua unit GT2 RS tersebut, Lars Kern dan Nick Tandy. Kern merupakan pemandu yang berjaya membuat catatan masa tersebut dengan purata kelajuan sekitar 184.11 km/j.

Apa yang lagi menarik ialah Porsche GT2 RS ini langsung tidak mempunyai pakej aerodinamik seperti Lamborghini. Jadi apa rahsianya?

Menurut Andreas Preuninger, ketua GT Car Division Porsche, rahsianya ialah penggunaan tayar yang sesuai yang mempu mengeluarkan potensi secara maksima bagi sebuah kereta. Porsche sudah lama berkerjasama dengan Michelin untuk mengeluarkan tayar-tayar yang berbeza untuk semua model mereka. Setiap model Porsche contohnya varian 911 GT3 RS dan 911 GT2 RS menggunakan tayar berbeza yang direka khusus untuk mereka.

Dikatakan juga tayar GT2 RS ini memberikan cengkaman mekanikal jauh lebih baik berbanding tayar yang dilengkapkan pada model 918 Spyder dan 911 GT3 RS.

Google ads
Back to top button