
CHINA MENGEKSPORT KELUAR LEBIH 3 JUTA KENDERAAN PADA TAHUN 2022
Umum sememangnya mengetahui tentang keberadaan dunia automotif negara China yang bukan calang – calang. Baik dari segi pengeluar, mahu pun jenis model kenderaan yang dihasilkan. Daripada model yang menyakitkan hati, sehinggalah kepada model EV terkini yang menawan hati.
Dan bagi membuktikan betapa pentingnya dunia automotif negara Tembok Besar kepada negara dan juga global, khabarnya sejumlah 3.111 juta kenderaan telah dieksport keluar negara. Suatu jumlah peningkatan sebanyak 54.4% berbanding tahun sebelumnya. Sekali gus menjadikan China sebagai negara pengeksport kenderaan kedua terbesar di dunia, menurut laporan menurut Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM).
Untuk lebih terperinci pecahan jenis kenderaan, negara China mengeksport 2.529 juta kenderaan penumpang, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 56.7%; 582,000 kenderaan komersial, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 44.9%; dan 679,000 kenderaan tenaga baharu (EV), peningkatan tahun ke tahun sebanyak 120%. Melihatkan kepada pertambahan yang cukup signifikan mengenai EV, mengikut ramalan BK pertambahan ini bakal meningkat berganda lagi bagi tahun ini memandangkan China semakin aktif memperkenalkan model – model EV yang baharu.

Pada masa yang sama, pengeluaran tahunan dan jualan kereta pada 2022 masing-masing adalah 27.021 juta dan 26.864 juta unit di China, menurut CAAM. Tambahan pula, CAAM meramalkan bahawa jumlah jualan kenderaan China akan mencapai 27.6 juta unit pada 2023, peningkatan tahunan sebanyak 3%; dan jualan kenderaan EV China akan mencapai 9 juta unit pada 2023, peningkatan tahunan sebanyak 35%.
Beberapa tahun sebelumnya.jumlah eksport kenderaan negara China telah pun berlegar sekitar 1 juta buah kenderaan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kenderaan China terus membuat kejayaan dalam pasaran Eropah dan Amerika. Dengan segmen EV yang menjadi semakin popular, Eropah dan Amerika Utara menjadi dua pasaran utama untuk eksport kereta China.
Dan susulan daripada itu, sepuluh pengeluar China teratas dari segi jumlah eksport kenderaan meliputi SAIC, Chery, Tesla China, Changan, Dongfeng, Geely, Great Wall, JAC, BAIC dan CNHTC.
Selain daripada pasaran Eropah dan Amerika, Asia Tenggara juga kini merupakan lubuk buat mana – mana pengeluar dari China untuk mengeksport keluar. Malah di negara jiran, Indonesia juga semakin banyak model dari China yang menerjah masuk ke sana. Dan di negara kita tidak kurang hebatnya. Perlahan – lahan kembali cuba menakluk. Terutamanya Proton. Eh kejap, Proton tu bukan China punya ke? Ke masih lagi Malaysia punya? Keliru pula kan. Haiihhh!
Kredit : carnewschina.com
BACA : PENGELUAR KERETA CHINA GAGAL MENYINAR DI PASARAN SENDIRI. PENGGUNA LEBIH SUKA JENAMA ASING
BACA : PRESIDEN CHINA BAWA KERETA RASMI BAHARU KE LUAR NEGARA – HONGQI N501



