CITROEN e-C3 BAHARU - KINI HADIR DENGAN KUASA ELEKTRIK
Citroen akhirnya mendedahkan generasi terbaharu model popular mereka, Citroen ë-C3 yang kini tampil sebagai model kenderaan elektrik sepenuhnya Pendedahan generasi keempat Citroen ë-C3 ini memberikan keselesaan terbaik dalam kelasnya, pengalaman elektrik yang mudah, peralatan yang cemerlang serta bernilai tambah yang luar biasa serta paling penting dibuat di Eropah.
Pengenalan Citroen ë-C3 baharu ini sememangnya meneruskan legasi C3 yang dikenali sebagai model yang popular buat Citroen di Eropah yang mana ianya telah terjual lebih daripada 5.6 juta unit semenjak keluaran pertamanya pada tahun 2002.
Citroen C3 ini menjadi model paling popular jenama Perancis itu dan mewakili 29 peratus daripada jumlah jualan Citroën di Eropah. Pada 2022, C3 menguasai 11 peratus keseluruhan pasaran segmen B di Eropah.
Perubahan ketara, Citroen ë-C3 serba baharu ini menandakan babak baharu untuk Citroën. Jenama yang popular dan berani mencipta semula dirinya untuk menghadapi cabaran secara agresif untuk menjadikan mobiliti kenderaan elektrik sepenuhnya oleh semua dengan B-hatchback dengan rekaan Eropah dan binaan Eropah yang pertama untuk pelanggan yang inginkan kelebihan emisi sifar yang bersih pada harga yang berpatutan.
Jelas kelihatan rekaan model serba baharu ini telah diberikan beberapa perubahan ketara termasuklah penambahan ketinggian sehingga 1.57 meter untuk berikan kelebihan ruang lega kepala sehingga 30mm. Ruang panjang dan lebar juga turut menerima penambahan sehingga 19 mm panjang dan 6mm lebih lebar.
Dengan ketinggian yang ada (termasuklah ruang lega tanah) jelas sekali ianya lebih berpenampilan serupa Crossover / SUV.
Model ini menggunakan platform asli BEV yang cekap kos serta menggunakan pek bateri 44kWh LFP (Lithium Ferro Phosphate) untuk memungkinkan jarak pemanduan WLTP sejauh 320km dan keupayaan pengecasan pantas DC 100kW membolehkan pengecasan semula daripada 20 hingga 80 peratus kapasiti dalam 26 minit.
Motor elektriknya mampu menghasilkan kuasa 83kW (113 HP) dan mampu memecut dari titik pegun ke 100 km/j dalam tempoh 11 saat dengan kelajuan maksimum 135 km/j. Dengan saiz sebegini, kelajuan bukanlah menjadi tujuan utama dan Citroen e-C3 sebenarnya cukup sesuai untuk pemanduan bandar.
Dan bahagian kabin model ini turut dilengkapi dengan ciri ketersambungan terus dengan telefon pintar melalui My Citroen Play with Smartphone Station apabila ianya diletakkan di dock menggunakan teknologi NFC yang membolehkan paparannya di paparkan ke skrin 10 inci.
Apa yang pasti, rekaan yang tampak segar serupa SUV berbanding sebuah model hatchback mungkin mampu menjadi daya penarik pembeli kelak.