Buletin

CONTINENTAL ULTRACONTACT UC7 KINI DI MALAYSIA. TEKNOLOGI CONFIDENCE+, DIAMOND DNA. PILIHAN SAIZ 15-18 INCI

Continental Tyres Malaysia baru-baru ini melancarkan tayar UltraContact UC7 generasi ketujuh ke pasaran tempatan. 

UltraContact UC7 merupakan rangkaian tayar serba boleh yang mengutamakan aspek keselamatan, selain memberi penekanan terhadap aspek kesenyapan bunyi luar biasa dan jangka hayat memandu lebih panjang. 

Melalui tayar ini, Continental mentakrifkan semula pengalaman memandu, seterusnya memberi keyakinan memandu bersama teknologi termaju.  

Dengan kejayaan UC6, Continental perlu menaik taraf produk yang bukan saja memenuhi keperluan semasa dan keperluan pasaran. 

“Keperluan khusus dan tabiat memandu pengguna sentiasa berubah. Jadi, Continental Tyres komited untuk terus berinovasi bagi memenuhi keperluan pengguna. Kami telah membuat pelaburan yang besar untuk pembangunan setiap produk yang dibawa ke pasaran. 

“UltraContact UC7 merupakan hasil yang benar-benar mewakili penambahbaikan generasi akan datang.” kata Ketua Jabatan BA Replacement Tires Asia Pasifik, Dalibor Kalina.

Berbanding UC6, UC7 mencapai peningkatan yang ketara terutama dari segi prestasi membrek dan kawalan di atas permukaan jalan basah. Aspek prestasi lain seperti kecekapan bahan api, brek kering, dan pengendalian juga dipertingkatkan.

Untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang terbaik, Continental telah membangunkan teknologi yang memberi tumpuan kepada keperluan pengguna bagi setiap segmen. 

Disesuaikan khas untuk segmen serba boleh, Teknologi Confidence+ menggabungkan yang terbaik dari teknologi kompaun dan ciri reka bentuk pembinaan dalam usaha membangunkan tayar yang tidak berkompromi dari segi  keselamatan, keselesaan, pengendalian, atau jarak perjalanan. 

Manjadikan aspek keselamatan sebagai keutamaan, setiap produk tayar Continental yang dipasarkan perlu melalui ujian demi ujian untuk memastikan prestasinya memenuhi keperluan paling tinggi. 

“Dengan Vision Zero sebagai keutamaan, Continental berusaha untuk mencapai sifar kemalangan, sifar kecederaan dan sifar kematian di jalan raya,” kata Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova.

Untuk membangunkan UltraContact UC7, pasukan Continental di seluruh dunia yang terdiri daripada 25 jurutera dan pakar material menghabiskan daripada 9,500 jam mereka bentuk, membuat simulasi, membina dan menguji semua prototaip.

Semasa fasa pembangunan sahaja, jurutera Continental menjalankan lebih daripada 850 ujian dalam pelbagai keadaan, dengan jarak gabungan yang boleh mengelilingi bumi sebanyak 12 kali.

Menerusi program penyelidikan dan pembangunan yang intensif, Teknologi Confidence+ UC7 benar-benar merangkumi teknologi Jerman.

Menampilkan Diamond DNA – Diamond Compound, Noise Breaker 3.0 dan Aqua Channel Advanced, UC7 menawarkan tiga kelebihan utama iaitu prestasi memberek di atas permukaan basah luar biasa, lebih senyap dan jangka hayat memandu yang panjang.

Tayar UC7 menjanjikan jarak membrek lebih pendek dan cengkaman luar biasa di atas jalan licin. Prestasi itu disumbang oleh sipes Aqua Channel Advanced pada corak bunga bahagian tengah tayar yang mengalirkan air untuk mengurangkan risiko hidroplaning. 

Reka bentuk Noise Breaker 3.0 yang inovatif dengan Flow X-celerator pula memanfaatkan prinsip Venturi Effect untuk mempercepatkan aliran air melalui alur. Selain meningkatkan sentuhan permukaan antara getah dan jalan raya. 

Formulasi Diamond Compound UC7 meningkatkan transformasi tenaga kinetik ke haba pada tahap optimum. Sekali gus memberikan jarak membrek lebih pendek walaupun di atas jalan basah.

Kelebihan kedua UC7 adalah pemanduan yang lebih senyap dan harmoni berikutan penurunan tahap bunyi dan frekuensi getaran. Apabila gelombang bunyi bergerak melalui alur, Noise Breaker 3.0 memecahkan gelombang dengan mengganggu homogeniti alur. 

Gelombang bunyi dipecahkan dan hilang menjadi ombak yang lebih kecil, menghalang bunyi bising daripada meningkat dan masuk ke dalam kabin kereta. 

Kelebihan ketiga ialah jangka hayat pemanduan yang lebih panjang. Rangkaian polimer yang dioptimumkan dalam Diamond Compound mengurangkan kehausan bunga tayar. 

UC7 kini sudah boleh didapati dalam saiz tayar 15 hingga 18 inci. Jika anda sedang mencari tayar yang dijamin kualitinya, pilih sahaja UC7 yang sesuai untuk kereta kompak, sederhana, MPV dan sedan mewah. 

GALERI

Google ads
Back to top button