Artikel Pilihan

CORVETTE STINGRAY C8 2020 PERTAMA BERJAYA DIJUAL DENGAN HARGA USD3 JUTA

Corvette Stingray C8 2020 ini belum lagi dihasilkan dan dilancarkan tetapi unit pertamanya telah berjaya dijual dengan harga RM 12,178,800 dalam acara lelongan Barret-Jackson hujung minggu lepas. Siapa pemilik bertuah itu? Yang pastinya bukan anda ataupun kami tetapi Rick Hendrick, seorang pemilik pasukan lumba Nascar dan pengumpul kereta terkenal.

Kereta dengan nombor VIN #001 itu sebenarnya belum pun dihasilkan tetapi dijangka akan disiapkan dalam masa beberapa minggu lagi. Ia akan dicat dengan warna hitam dan disudahkan dengan kemasan dalaman yang juga berwarna hitam.

Selain daripada itu, Corvette tersebut juga akan dilengkapkan dengan Z51 Performance Package, kemasan 3LT, perakam data prestasi dan tempat duduk GT2. Model berwarna merah di dalam gambar bukannya unit sebenar tetapi dibawa untuk tatapan umum sewaktu acara lelongan yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif GM, Mary Barra.

Lelongan bermula pada harga USD200,000 sebelum terus melonjak ke angka 1 juta, kemudian 2 juta dan akhir sekali terjual dengan harga USD3 juta. Hendrick merupakna seorang pengumpul prolifik dan mempunyai hobi membeli unit pertama kereta-kereta hebat yang bakal dilancarkan.

Tahun lepas beliau membayar USD2.5 juta untuk unit pertama Ford GT Heritage Edition 2019. Selain daripada itu Hendrick turut memiliki beberapa unit pertama model lain seperti Chevrolet Camaro ZL1 LE 2018, Acura NSX 2017, Corvette Stingray C7, C7 Z06 dan C7 ZR1. Kesemuanya merupakan unit pertama produksi.

Kesemua duit hasil lelongan akan didermakan kepada tabung kanak-kanak Detroit Children’s Fund yang bertujuan meningkatkan kemudahan pendidikan awam untuk kanak-kanak Detroit.

Hendrick menyatakan yang beliau memang peminat nombor satu Corvette dan berterima kasih kepada Barret-Jackson dan Chevrolet kerana sentiasa membuka peluang untuk membuat kebajikan dan membantu ramai insan yang memerlukan. Siapa kata kaki kereta ni kedekut kan?

Google ads
Back to top button