Motosikal

MASA SEMAKIN SUNTUK BUAT MARQUEZ. BAHU KANAN TIDAK SEMBUH SEPERTI YANG DIHARAPKAN

Anak emas pasukan Repsol Honda, Marq Marquez kini semakin kesuntukan masa untuk kembali cergas bagi mengharung sesi ujian pra-musim yang bakal berlangsung di litar Sepang bulan depan. 

Keadaan itu berikutan pembedahan bahu sebelah kanan yang dijalaninya pada tahun lalu tidak sembuh seperti yang diharapkan. 

Dia berkongsi sekeping gambar di Instagram, meminta para peminat untuk melihat perbezaan di antara kedua-dua belah bahunya. Jelas kelihatan bahu sebelah kanan seperti masih bengkak, sedangkan bahu kiri menunjukkan otot yang tegap.   

Selepas bahunya sedikit teralih ketika ujian di litar Jerez, Repsol Honda mengesahkan bahawa pelumba berusia 26 tahun itu perlu menjalani pembedahan sama seperti 12 bulan sebelumnya. Pembedahan itu dikatakan tidak serius dan dijangka pulih dalam masa yang lebih singkat. 

Maqrquez menjalani pembedahan yang berjaya di Hospital Universitari Dexeus-Quiron di Barcelona pada 20 November 2019. 

“Saya tidak pasti sama ada saya akan berada di Sepang atau sebaliknya. Proses penyembuhan bahu sebelah kanan tidak sama sama seperti bahu kiri sebelum ini,” kata Marquez ketika menerima anugerah sebagai ahli sukan terbaik Catalunya.    

Selepas ujian di Sepang, Marquez hanya mempunyai masa selama dua minggu sebelum sesi ujian pra-musim terakhir berlangsung di litar antarabangsa Losail Qatar pada 22 hingga 24 Februari. Litar Losail juga akan membuka tirai musim MotoGP 2020 pada 8 Mac depan. 

Selain Marquez, dua orang pelumba lagi iaitu Takaaki Nakagami (LCR Honda) dan Miguel Oliveira (KTM Tech3) turut berada dalam tempoh penyembuhan daripada pembedahan bahu. 

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Marquez. Namun dia tidak dapat berjanji dengan Repsol Honda akan dapat turun ke litar dalam keadaan cergas sepenuhnya.  

Google ads
"
"
Back to top button