BuletinMotosikal

CUBPRIX T’GANU. YAMAHA BAKAL MENGGANAS LAGI?

Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus, Terengganu akan menjadi destinasi saingan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas minggu ini.

Kejuaraan motosikal terhebat negara itu, akan berlangsung hujung minggu pada 23 hingga 24 Ogos ini.

Seperti biasa, ia akan menjanjikan persaingan menarik dan tidak harus dilepaskan oleh para peminat sukan permotoran di Kuala Terengganu untuk menontonnya.

Beberapa pelumba hebat negara akan bersaing termasuk anak jati Terengganu, Ahmad Afif Amran yang kini memegang status selaku pendahulu keseluruhan kelas CP150 dengan mengumpul 78 mata.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu yang tampil konsisten untuk berada dalam kelompok tiga pelumba teratas di setiap pusingan setakat ini, sudah pastinya mahu berada di podium sebagai hadiah buat para peminatnya di Terengganu.

Selain Afif, dua lagi anak jati Terengganu yang akan beraksi dalam kelas CP150 adalah Md Hafiza Rofa yang menggalas cabaran pasukan ONEXOX TKKR SAG Team serta Md Harith Farhan Baharin yang beraksi untuk pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.

Tiga pelumba asal Terengganu ini, pastinya mendapat suntikan semangat kerana bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Begitupun, perlu diingat, kelebihan tersebut bukan jaminan untuk melakar penamat podium kerana keadaan jentera turut memainkan peranan besar bagi menentukan kejayaan.

Ini terbukti pada saingan Pusingan 4 di Pontian, Johor hujung bulan lalu yang menyaksikan penguasaan jentera Yamaha meskipun sebelum itu prestasi jentera Honda amat terserlah pada Pusingan 1 dan 2, masing-masing di Jasin Melaka dan Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pelumba yang memiliki keyakinan, kestabilan jentera serta kemampuan untuk menawan selekoh ketika berada di litar, sudah pasti bakal menguasai saingan di Terengganu nanti.

Justeru, para peminat di Terengganu nanti boleh menjangkakan sajian yang lebih menarik kerana barisan pelumba yang menunggang jentera Honda pasti bangkit untuk menyekat penguasaan jentera Yamaha.

Jika persaingan ini berlaku, saingan Pusingan 5 itu nanti sememangnya menarik untuk ditonton.

Selain itu, edisi di Terengganu juga sentiasa menyajikan kejutan dan sejak tahun 2009, gelaran juara bagi kelas perdana ini silih berganti.

Tiada pelumba yang mampu mengekalkan reputasi selaku juara meskipun sebahagian besar daripada mereka bukan asing dengan keadaan litar di negeri Pantai Timur itu.

Sejak edisi 2009 hanya dua pelumba mampu meraih gelaran juara sebanyak dua kali pada saingan di Terengganu.

Elly Idzlianizar Ilias melakukannya pada tahun 2009 dan 2012 (ketika itu bagi kelas Expert dan CP130) manakala Kasma Daniel Kasmayuddin muncul juara pada edisi 2016  di Kemaman dan 2018 di Kuala Terengganu.

Berdasarkan pencapaian tersebut, apakah nama baharu akan muncul juara pada aksi Pusingan 5 nanti atau mampukah Afif memenuhi impian para peminat di negeri kelahirannya untuk melihat dia berada di podium utama.

Ia bukan perkara mustahil buat Afif untuk merealisasikannya kerana dia antara pelumba yang dilihat  konsisiten dalam setiap penampilannya musim ini.

Musim ini, dia bermula dengan meraih kedudukan keempat pada Pusingan 1 sebelum muncul naib juara (Pusingan 2) diikuti juara (Pusingan 3) dan sekali lagi muncul naib juara pada saingan di Pontian bulan lalu.

Berdasarkan pencapaiannya, dia satu-satunya pelumba yang dilihat stabil meskipun pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar sudah bergelar juara sebanyak dua kali iaitu pada Pusingan 1 dan 2.

Di Pontian, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Azhar Abd Jalil mencipta kejutan apabila menamatkan perlumbaan dengan status juara, namun prestasinya sejak Pusingan 1, tidak begitu meyakinkan.

Justeru, saingan di Terengganu nanti boleh dikatakan terbuka kerana beberapa pelumba senior seperti Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Team), Ahmad Fazrul Sham (AHM Motorsports Yamaha Racing), Md Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Yuzy Racing) serta Azroy, pasti mahukan penamat podium bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta keseluruhan.

Malah, Zaqhwan, Fazli dan Fazrul pernah bergelar juara pada saingan di Terengganu sebelum ini.

Selain itu, litar yang bakal mereka harungi di Terengganu nanti merupakan litar baharu yang mempunyai 12 selekoh sukar terutamanya di selekoh 7 hingga 10.

Selepas mengharungi empat pusingan setakat ini, Afif terus selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan 78 mata diikuti Azroy (55) dan tempat ketiga dipegang Azhar dengan 43 mata.

Info

Kedudukan Keseluruhan CP150 (5 Teratas)

Ahmad Afif Amran (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 78 mata

Azroy Hakeem Anuar (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 55

Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Yamaha YY Pang Racing – 43

Ahmad Fazli Sham (PRK) ONEXOX TKKR SAG Team – 42

Md Akid Aziz (KL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40

Google ads
Back to top button