Buletin

MBM MULAKAN EKSPORT MODEL C 180 PEMANDUAN SEBELAH KIRI KE FILIPINA

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini mengumumkan bahawa ia akan mula mengeksport kenderaan pemanduan sebelah kiri, Mercedes-Benz C 180 LHD ke pasaran Filipina.

Perkembangan tersebut menjadikan kemudahan di Pekan, Pahang itu sebagai kilang Mercedes-Benz pertama yang menghasilkan kereta dengan pemanduan kiri dan kanan di Asia Tenggara.   

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr. Claus Weidner memberitahu pihaknya sedang mencari peluang eksport yang lain selepas Filipina. Enggan mendedahkan lebih lanjut, beliau menyatakan MBM kini fokus untuk mengkaji sama ada ada hasrat itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

Jika hasrat mengeksport ke negara lain itu dapat dicapai, ia pasti akan memberi impak positif terutama dari segi peluang pekerjaan dan perkongsian teknologi. Di samping dapat memberi peluang kepada pembuat alat ganti tempatan memperoleh pelanggan baru.

Weidner ditemui di Pekan sempena majlis ulang tahun ke-15 kilang Mercedes-Benz dan meraikan pencapaian penghasilan kenderaan yang ke-100,000 unit di sana.

Untuk makluman, Mercedes-Benz sudah melabur lebih RM300 juta ke atas kilang ini sejak ia mula beroperasi. Sekali gus membuktikan komitmen MBM ke pasaran Malaysia.  

Memiliki keluasan lebih 200 ekar, kilang itu dilengkapi pelbagai teknologi terkini dan kemudakan produksi automatik.

Setiap kenderaan perlu menjalani empat sistem kawalan demi memastikan kualiti yang terbaik diberikan kepada para pelanggannya.  

Google ads
Back to top button