Buletin

DBKL ANGKUT 22 MOTOSIKAL PARKIR DI LALUAN OKU

Sebanyak 22 buah motosikal telah dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk pengeluaran 22 notis kompaun dan tahanan sementara menerusi satu operasi khas oleh pegawai Penguatkuasa dan Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL hari ini.

DBKL dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, tindakan itu diambil melibatkan motosikal yang diletakkan menghalang laluan awam.

“Ia dilaksanakan menerusi Tindakan Khas Angkut dan Kompaun Kenderaan Buat Halangan Tempat Awam di sekitar laluan orang kurang upaya (OKU), laluan siar kaki serta yang ingkar papan tanda larangan parkir motosikal di Jalan P.Ramlee dan Jalan Ampang.

“Operasi diadakan melibatkan siri tindakan berkala sekitar kawasan tumpuan (hotspot).

“Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.

Dalam kenyataan sama, DBKL mengingatkan pengguna jalan raya dan pemilik premis agar mematuhi peraturan serta isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Pastikan kenderaan (motosikal atau kereta) diletakkan ditempat sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button