LELAKI DITAHAN SELEPAS DUA JAM LARIKAN SUV DARI SURIA KLCC
Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) lesap dipercayai dilarikan seorang lelaki tempatan selepas kenderaan itu ditinggalkan kira-kira 10 minit di bahu jalan oleh penjaga valet sebuah pusat beli-belah di Jalan P Ramlee, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata kejadian berlaku selepas pemilik kereta berusia 31 tahun menyerahkan kenderaan berkenaan kepada penjaga valet jam 12.48 tengah hari.
“Siasatan mendapati penjaga valet meletakkan kereta berkenaan di kawasan parkir valet sebelum mengalihkan kereta itu sementara di tepi laluan keluar di jalan utama.
“Lebih kurang 10 minit kemudian semasa hendak mengalihkan semula kereta berkenaan didapati SUV itu sudah tiada dipercayai dicuri namun kunci kereta berada pada valet berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai juru reka hiasan itu dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan ketika keluar dari pusat beli-belah terbabit jam 1.20 tengah hari lantas membuat laporan polis.
Noor Dellhan berkata, sejurus menerima laporan itu pihaknya membuat hebahan berhubung kecurian berkenaan kepada semua elemen di lapangan bagi mengesan SUV terbabit.
Tidak lama kemudian kereta yang dicuri berkenaan dikesan di sekitar USJ 1 di Subang Jaya, Selangor sebelum ditahan anggota kenderaan peronda polis (MPV) kira-kira 2.35 petang semalam.
“Suspek berusia 58 tahun berada dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan enggan bekerja sama malah cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.
“Permohonan reman akan dibuat ke atas suspek yang mempunyai dua rekod kesalahan dadah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu kejadian tular selepas satu hantaran dimuatnaik seorang pengguna media sosial mendakwa keretanya hilang selepas diserahkan kepada valet semasa dia singgah di pusat beli-belah terbabit.
Lelaki itu mendakwa SUV terbabit dikesan berada di sekitar Subang Jaya berdasarkan maklumat daripada peranti sistem kedudukan sejagat (GPS) pada kenderaan itu.
Sementara itu, Suria KLCC dalam kenyataan menerusi Facebook menyebut suspek kes curi kereta di parkir valet kompleks beli belah itu sudah ditahan polis.
“Dukacita dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku di operator parkir valet Suria KLCC.
“Kenderaan yang diamanahkan kepada perkhidmatan valet telah dicuri walaupun diletakkan dengan selamat oleh pekerja valet.
“Bagaimanapun, selepas dimaklumkan, kami segera melancarkan siasatan menyeluruh dan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, bersama-sama polis, pihaknya menyemak rakaman kamera tertutup (CCTV) yang mendedahkan bahawa seorang individu yang tidak dikenali memasuki kereta dan memandunya pergi manakala kunci kereta disimpan dengan selamat di kaunter valet.
“Menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem GPS kereta, suspek ditahan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kejadian kecurian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kami komited untuk menyemak dan mengukuhkan lagi penguatkuasaan prosedur operasi standard pengendali parkir valet untuk mengelakkan insiden pada masa depan.
“Keselamatan pelanggan kami tetap menjadi keutamaan,” kata Suria KLCC.
Sebelum ini, pemilik kenderaan itu dikenali sebagai Zach Khai Shin memuat naik kejadian itu di Facebook semalam apabila dia mendapati keretanya hilang ketika diletakkan di parkir valet.
Kejadian itu disedari selepas 30 minit dirinya berada di pusat beli-belah itu.
“Saya baru berhenti 30 minit dan masuk berjalan-jalan. Saya keluar dan diberitahu saya kereta sudah hilang.
“Kunci masih ada tetapi kereta sudah tiada. Nasib baik kereta ada GPS dan mendapati kereta itu dibawa ke kawasan Subang,” katanya. – Berita Harian
- BACA: PANDANGAN POLITIK, PERANGAI ELON MUSK MENJENGKELKAN – PENGGUNA RELA PILIH JENAMA LAIN BERBANDING TESLA
- BACA: PROTON SASAR TAMBAH PENGEDAR PROTON e.MAS
- BACA: HONDA PRELUDE BAKAL KEMBALI – MODEL HONDA PALING ELEGAN KINI DENGAN TEKNOLOGI HIBRID
- BACA: HYUNDAI IONIQ 5 DAN KIA EV6 JADI MANGSA TERBARU DIGODAM ‘GAME BOY’