130 MOTOSIKAL DI DEPOH DBKL MUSNAH TERBAKAR
Sebanyak 130 buah motosikal pelbagai model musnah dalam satu kejadian kebakaran di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught, di sini pada Ahad.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Hisam Mamat berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kebakaran pada jam 12.33 tengah hari.
Menurutnya, panggilan tersebut diterima melalui sistem MERS999 sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami mendapati ia melibatkan kebakaran deretan motosikal lama.
“Kesemua motosikal ini berada di dalam depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik pihak DBKL,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan anggaran kemusnahan adalah 100 peratus manakala punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik.
“Operasi memadam kebakaran melibatkan pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak serta bantuan BBP Cheras bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) membabitkan 10 orang anggota lain-lain pangkat,” katanya. – Sinar Harian