
INI 10 TAYAR TERBAIK 225/40 R18 TAHUN 2025 -AUTO BILD
Pasaran tayar hari ini dipenuhi dengan pelbagai jenama samaada daripada premium Eropah dan Jepun hinggalah jenama baharu dari China. Namun satu persoalan yang selalu timbul ialah tayar mana sebenarnya paling selamat?
Untuk menjawab soalan itu, majalah automotif Jerman Auto Bild menjalankan ujian besar tahunan mereka bagi tayar musim panas khusus untuk saiz 225/40 R18 yang menjadi saiz popular untuk kereta kompak sporty seperti VW Golf, Audi A3 dan BMW 1-Series bagi negara Jerman.
Dalam ujian ini, 52 tayar diuji dalam peringkat awal, sebelum hanya 20 model terbaik layak ke ujian penuh yang menilai pelbagai aspek seperti braking, handling, aquaplaning, wear dan kos pemilikan. Keputusan akhir menunjukkan keputusan jelas dimana tayar premium masih mendominasi dari segi keselamatan dan prestasi keseluruhan.
Berikut ialah 10 tayar terbaik dalam ujian penuh Auto Bild.
1. Goodyear Eagle F1 Asymmetric 6
Tayar dari Goodyear ini muncul sebagai juara ujian dengan kombinasi prestasi yang sangat seimbang. Ia menawarkan jarak membrek pendek di jalan basah, handling yang stabil dan juga mileage terbaik dalam ujian, menjadikannya bukan sahaja selamat tetapi juga ekonomik dalam jangka panjang.
2. Michelin Pilot Sport 5
Michelin terkenal dengan kepakaran dalam pembangunan tayar berprestasi tinggi dan PS5 membuktikannya sekali lagi. Ia menawarkan handling dinamik, braking kuat di jalan kering dan basah serta jangka hayat tayar yang sangat baik. Walaubagaimanapun, Michelin masih belum menghasilkan varian sport seperti Pilot Sport 4S bagi varian Pilot Sport 5 ini
3. Bridgestone Potenza Sport
Jika fokus utama ialah prestasi sporty, Potenza Sport adalah antara pilihan terbaik. Dalam ujian membrek, model ini mencatatkan jarak membrek paling pendek di jalan kering, menunjukkan tahap grip yang sangat tinggi. Berbeza dengan Potenza Adrenalin, model ini berada di hierarki lebih tinggi
4. Hankook Ventus EVO K137
Jenama dari negara Korea iaitu Hankook semakin kuat dalam kategori tayar prestasi. Salah satu model dari Hankook ialah Ventus EVO K137 menunjukkan keseimbangan baik antara handling, kestabilan dan prestasi di jalan basah.
5. Continental PremiumContact 7
Continental terkenal dengan kepakaran dalam keselamatan tayar. Berbeza dengan jenama lain, Continental menawarkan pelbagai varian bermula dari EcoContact dan Comfort Contact. Model PremiumContact 7 memberikan prestasi konsisten di jalan kering dan basah, serta kawalan yang sangat stabil ketika situasi kecemasan.
6. Kumho Ecsta PS71
Walaupun jarang disebut, tayar dari Korea Selatan iaitu Kumho muncul sebagai kejutan dalam ujian ini. Tayar ini menunjukkan prestasi aquaplaning yang sangat baik dan braking yang kuat, menjadikannya pilihan nilai yang menarik.
7. Falken Ziex ZE320
Jika anda tidak tahu, Falken ialah jenama pengeluar tayar terbesar di dunia yang berasal dari Jepun (Sumitomo Rubber). Falken Ziex ZE320 menonjol dengan prestasi braking yang baik dan kestabilan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
8. Toyo Proxes Comfort
Toyo merupakan jenama pertengahan yang berasal dari Jepun dan menjadi pilihan bagi kebanyakan kereta CBU Jepun. Toyo Proxes Comfort lebih menumpukan kepada keselesaan dan kestabilan pemanduan, namun masih mengekalkan tahap keselamatan yang baik dalam ujian.
9. Dunlop Sport Maxx RT2
Dunlop adalah pelopor kepada pengenalan tayar pneumatic yang berasal dari UK. Hari ini Dunlop dikendalikan di bawah pemilikan Goodyear (US) dan Sumitomo (Jepun). Walaupun jarang disebut, Dunlop RT2 menawarkan handling sporty yang tajam dan prestasi stabil ketika pemanduan agresif.
10. Sailun Atrezzo ZSR2
Ini antara jenama dari China yang diam-diam ubi berisi. Sailun memberi fokus kepada tayar bajet dan pertengahan untuk kenderaan penumpang dan komersial. Sailun Atrezzo ZSR2 merupakan salah satu tayar yang lebih murah dalam senarai, namun masih mampu memberikan prestasi yang cukup kompetitif untuk pemanduan harian.
Ujian Auto Bild
Dalam ujian ini, majalah automotif Jerman Auto Bild menilai tayar berdasarkan pelbagai parameter penting yang mencerminkan situasi pemanduan sebenar di jalan raya. Antara aspek utama yang diuji termasuk prestasi membrek di jalan kering dan basah, keupayaan pengendalian ketika mengambil selekoh, rintangan terhadap aquaplaning ketika melalui air di permukaan jalan, tahap rolling resistance yang mempengaruhi penggunaan bahan api, serta kadar kehausan tayar yang menentukan kos penggunaan dalam jangka panjang.
Pendekatan ujian yang menyeluruh ini penting kerana prestasi tayar tidak boleh dinilai berdasarkan satu metrik sahaja. Sebuah tayar mungkin mencatat jarak membrek yang baik, tetapi jika ia cepat haus atau kurang stabil ketika aquaplaning, ia masih boleh menjadi pilihan yang kurang sesuai untuk kegunaan harian.
Malah dalam ujian braking sahaja, perbezaan antara tayar terbaik dan yang paling lemah boleh menjadi sangat besar. Dalam ujian yang dijalankan, beberapa tayar yang lebih murah memerlukan lebih daripada 10 meter tambahan untuk berhenti sepenuhnya berbanding tayar terbaik.
Perbezaan ini mungkin kelihatan kecil di atas kertas, tetapi dalam situasi kecemasan di jalan raya, jarak tambahan tersebut boleh menjadi perbezaan antara berhenti dengan selamat atau melanggar kenderaan di hadapan.
Jadi Di Mana Kedudukan Linglong?
Salah satu model yang sering menjadi perbualan dalam ujian ini ialah Linglong Sport Master. Tayar ini menarik perhatian kerana mencatat prestasi braking yang agak baik dalam ujian awal, khususnya di permukaan jalan basah.
Dalam ujian yang dijalankan oleh Auto Bild, Linglong Sport Master menunjukkan prestasi membrek yang sangat kompetitif di jalan basah, dengan jarak berhenti sekitar 27.4 meter dari 80 km/j. Di jalan kering pula, tayar ini mencatat jarak membrek sekitar 34.2 meter dari 100 km/j, satu keputusan yang masih berada dalam julat kompetitif walaupun tidak berada di kelompok terbaik.
Keputusan ini menunjukkan bahawa dari segi prestasi membrek semata-mata, tayar Linglong sebenarnya tidaklah buruk dan dalam keadaan tertentu mampu bersaing dengan beberapa tayar yang lebih mahal.
Namun begitu, apabila dinilai secara keseluruhan merangkumi semua parameter ujian seperti handling, ketahanan, rolling resistance (kecekapan tenaga) dan prestasi aquaplaning, kedudukannya hanya berada di pertengahan kumpulan dan tidak mampu menandingi prestasi seimbang yang ditawarkan oleh tayar premium.
Sumber – Auto Bild

