
DS SM TRIBUTE CONCEPT – MENGIMBAU KENANGAN CITROEN SM TAPI APA PASAL GUNA DS PULA NI?
Lama dahulu, Citroen SM merupakan sebuah model coupe berprestasi tinggi yang menjadi idaman seluruh rakyat benua Eropah sekitar era 70an. Ramai selebriti pernah memilikinya seperti artis, ahli politik dan juga pemain bola sepak.
Bagi mengimbau semula model yang unik dan pernah menjadi imej pengenalan buat Citroen, sebuah model konsep telah diperkenalkan DS SM Tribute. Cumanya kali ini Citroen yang telah bernaung di bawah payung Stellantis telah memberikan pengiktitrafan yang lebih tinggi apa bila memutuskan untuk menggunakan sub-jenama DS Automobiles dan bukannya Citroen.

Sedikit sejarah untuk diimbas, Citroen SM yang dikeluarkan pada awal era 70an dianggap sebagai kemuncak inovasi automatif Perancis. Gaya aerodinamik yang direka oleh Robert Opron memang mendahului zaman apatah lagi dengan penggunaan enjin V6 yang cukup berkuasa. Tetapi jangan dilupa akan sistem suspensi hydropneumatic yang memberikan keselesaan yang bukan kepalang.
Dan DS SM Tribute ini sememangnya berinspirasikan daripada model asal dengan kerja badan yang cukup dramatik yang menampilkan hud yang panjang di hadapan serta bahagian belakang yang tirus. Di belakang dua tingkap besar, panel suku belakang dipotong separuh dan seterusnya menjadikan bahagian belakang terapung dalam bentuk S.

Sememangnya, terdapat panel di bahagian fender roda belakang yang menutupi sebahagiannya yang boleh ditanggalkan bagi menyembunyikan rim bersaiz 22 inci. Walau pun ianya bertujuan untuk memberikan ilusi model ini sebenarnya lowered, tetapi percayalah ianya memang direka untuk tampil lebih rendah.
Penampilan luaran yang moden dan sedikit eleman klasik disudahkan dengan layangan dwi warna cat Gold Leaf dengan kemasan satin menyerlahkan imej yang lebih elegan untuk DS SM Tribute.

Bahagian dalamannya sang pereka menampilkan imej yang agak minimalis dengan warna Ivory. Terdapat paparan skrin bersaiz besar di bahagian di samping rekaan tempat duduk kulit Alcantara yang masih lagi mengekalkan imej ikonik tempat duduk Citroen SM dengan corak kusyen mendatar.
Walau pun tiada maklumat lanjut diberikan tentang trenkuasa, namun dengan rekaan yang tertutup di bahagian hadapannya, boleh diagak selayaknya trenkuasa elektrik digunapakai. Dan mungkin inilah imej yang mungkin akan dibawa oleh DS Automobiles di masa akan datang.
BACA : CITROEN SM PRESIDENTIAL – PERNAH MENJADI KERETA RASMI PRESIDEN SUATU KETIKA DAHULU
BACA : CASELANI – ALKISAH PEMBUAT KUSTOM VAN KLASIK CITROEN TYPE H