
CITROEN SM PRESIDENTIAL – PERNAH MENJADI KERETA RASMI PRESIDEN PERANCIS SUATU KETIKA DAHULU
Asalnya model Citroen SM ini adalah merupakan sebuah model coupe berprestasi tinggi yang dikeluarkan oleh pengeluar Perancis ini dari tahun 1970 hingga ke 1975. Kereta ini bukan calang – calang kerana ianya pernah menduduki tempat ketiga European Car of the Year pada tahun 1971 dan juga memenangi anugerah Motor Trend Car of the Year 1972 di Amerika Syarikat.

Ada kisah menarik disebalik pembuatan model Citroen SM ini. Asalnya Citroen mahu membangunkan model Citroen DS yang dinamakan sebagai Project S pada tahun 1961 namun terdapat beberapa halangan ketika itu. Pada tahun 1968, Citroen telah membeli Maserati dengan niat bagi mendapatkan teknologi enjin berprestasi tinggi.
Tidak lain dan tidak bukan, niat mereka dikala itu sudah tentu bagi membina model sendiri yang terdiri daripada kecanggihan sistem ampaian milik Citroen serta enjin V6 milik Maserati. Dan hasilnya, adalah model berprestasi tinggi Citroen SM ini yang membawa maksud Sport Maserati.

Dan kisah menarik model Citroen SM Presidential ini bermula dengan alkisah seseorang yang bernama Henri Chapron. Beliau ini terkenal sebagai pembina badan kereta secara tempahan khas khusus model SM ini. Beliau telah diminta agar membina dua buah istimewa model Citroen SM khusus untuk kegunaan Presiden Perancis waktu itu, Georges Pompidou dengan rekaan bumbung yang boleh dibuka / digunakan.
Untuk model kegunaan Sang Presiden, Citroen SM Presidential ini telah mengalami beberapa perubahan kecil seperti casis telah dipanjangkan sehingga 52 cm bagi menjadikan panjang keseluruhan adalah 5.60 meter.
Kotak gear manual kereta ini mempunyai sebuah gear rendah yang khusus dan juga sistem penyejukan tambahan bagi kegunaan perarakan yang memerlukan kereta ini bergerak secara perlahan diantara enam ke tujuh kilometer sejam sahaja. Enjin V6 asal masih lagi dikekalkan.

Di bahagian tengah diantara kerusi pemandu turut tersedia sebuah kerusi kecil yang mengadap Presiden. Khabarnya kerusi tersebut disediakan khas untuk kegunaan penterjemah mahupun Setiausaha untuk menemani Pembesar negara lain yang turut serta.
Kereta milik Presiden ini kekal bertahan sehingga 37 tahun lamanya digunakan secara rasmi dan jarak perbatuan yang dicatat hanyalah sekitar 25,000 km sahaja.
BACA : PRESIDEN CHINA BAWA KERETA RASMI BAHARU KE LUAR NEGARA – HONGQI N501

