
DUA ACARA PAMERAN MOTOSIKAL TAHUN 2023 DIBATALKAN – DULU SEBAB COVID, SEKARANG TAK BANYAK PENYERTAAN
Sejak dua tahun lalu, ketika Covid-19 giat merebak di seluruh dunia, semua acara melibatkan perhimpunan orang ramai, termasuk acara pameran motor terpaksa dibatalkan bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.
Menurut laporan Motorcycle.News, terdapat pembatalan dua acara pameran motosikal yang akan berlangsung pada tahun baru 2023. Dua pameran dimaksudkan ialah acara IMA di Hesse dan pertunjukkan BMT di Berlin, Jerman.
Namun, pembatalan kali ini bukannya disebabkan Covid-19 tetapi laman web itu mendakwa jumlah penyertaan sangat rendah hingga memaksa penganjur membatalkan dua acara tersebut.

Menerusi laman Facebook Berlin Motorrad Tage (BMT), penganjur menyatakan bilangan pempamer yang mendaftar untuk acara itu adalah 50 peratus lebih rendah daripada jangkaan. Ia berkemungkinan disebabkan oleh gangguan bekalan, kekurangan kakitangan untuk menjalankan acara, selain keadaan politik dan ekonomi secara keseluruhan.
“Kami berpendapat pameran motosikal mesti merentas industri tertentu untuk memberi pengunjung peluang membuat perbandingan dan mendapatkan maklumat. Malangnya, ia tidak berlaku pada dua acara yang dijadualkan ini. Kami amat kesal kerana kami terpaksa membuat keputusan ini untuk IMA dan BMT,” jelas kenyataan BMT di Facebook.
November lalu, Motorcycle Live mengalu-alukan kehadiran pengunjung termasuk beberapa nama besar dari dunia dua roda untuk menarik perhatian orang ramai. Begitu juga dengan acara IMA dan BMT, jika ada nama besar di acara tersebut, ia akan membantu untuk membuktikan betapa besarnya acara tersebut.