Buletin

TESLA TIDAK BOLEH GUNA NAMA FULL SELF-DRIVING DI CALIFORNIA MULAI 1 JANUARI 2023

Penggubalan rang undang-undang baharu di California bakal menyaksikan Tesla akan diharamkan daripada menggunakan nama Full Self-Driving (FSD) untuk kenderaan mereka bermula 1 Januari 2023.

Undang-undang senat nombor 1398 itu telah diluluskan oleh Gabenor Gavin Newsom yang menyebut setiap pengeluar automotif perlu menerangkan fungsi dan limitasi setiap teknologi pemanduan semi-autonomi yang dipasarkan atau ditambah menerusi kemaskini perisian.

Selain itu, ia juga turut menyebut pelanggaran peraturan dalam subbahagian yang disebutkan tadi boleh dianggap sebagai iklan atau pemasaran yang mengelirukan.

Tesla pula dalam laman web mereka menjelaskan ciri Full Self-Driving memerlukan pemantauan daripada pemandu secara berterusan dan tidak akan menjadikan mana-mana kenderaan mereka autonomi penuh.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Tesla kerap dikaitkan dengan kontroversi pemasaran yang mengelirukan menerusi penggunaan nama-nama seperti Autopilot, Enhanced Autopilot dan Full Self-Driving.

Dengan pelaksanaan undang-undang baharu ini, Tesla dan mana-mana pengeluar perlu memikirkan nama yang bersesuaian supaya tidak dicop sebagai pengiklanan yang menipu pelanggan.

Google ads
Back to top button