Artikel Pilihan

MiL-V12, PROTOTAIP HELIKOPTER TERBESAR DI DUNIA. AKHIRNYA JADI BAHAN PAMERAN

Pada kemuncak Perang Dingin antara blok Barat dengan USSR dahulu, salah satu perkara yang dibangunkan oleh kedua dua pihak ialah kemampuan dari segi keupayaan serangan bom nuklear ke atas musuh. Masing-masing cuba membina bom nuklear yang lebih berkuasa tapi lebih kecil bagi memudahkan urusan logistik.

Ketika itu USSR perlu mengangkut bom nuklear atau peluru berpandu mereka yang amat berat dengan menggunakan keretapi dari satu tempat ia dihasilkan ke tempat pelancaran. Urusan logistik ini menghasilkan 2 masalah besar dengan kaedah ini. Pertama ia memerlukan sumber yang banyak bagi membina landasan keretapi khas untuk kegunaan tentera sahaja

Kedua juruterbang pesawat U-2 hanya perlu mengikuti landasan ini sahaja bagi mencari lokasi pelancaran peluru berpandu berkuasa nuklear ini. Maklumat lokasi ini amat penting jika blok barat bercadang untuk melakukan pre-emptive strike ke atas USSR.

Bagi memindahkan dan menyembunyikan lokasi peluru berpandu ini, USSR merancang untuk mengangkutnya dengan helikopter yang diberi kod MiL V-12. Berikut ialah maklumat teknikal berkenaan dengan helikopter pengangkut bom nuklear ini terbesar di dunia ini:

1. Dimensi – helikopter ini datang dengan panjang 37 meter dari depan ke belakang, tapi sayap yang menempatkan 2 bilah rotor adalah sepanjang 67 meter. Tinggi helikopter ini dari permukaan tanah ialah 12.5 meter. Mil V-12 adalah 1 meter lebih panjang daripada Boeing 737.

2. Berat – MiL V12 adalah seberat 69,100kg dan berupaya terbang dengan berat termasuk muatan sehingga 97,000kg. Tapi berat maksimum ketika terbang sebernarnya ialah 105,000kg. Ini bermakna muatan maksimum helikopter ini ialah 35,900kg.

Ia boleh menerbangkan 36 biji Myvi sekaligus atau membawa 196 penumpang dalam satu-satu masa dengan satu pintu kargo di bahagian belakang. Rekod helikopter ini ialah pada 6 Ogos 1969 ia berupaya terbang sehingga 2433 meter dengan membawa beban seberat 39,916kg iaitu rekod yang kekal sehingga hari ini

3. Enjin – MiL V-12 dikuasakan dengan 4 enjin Soloviev D-25 yang menghasilkan 6500 kuasa kuda setiap unit. Maksimum kuasa yang dihasilkan ialah 26,000 kuasa kuda dengan enjin disusun selari di bahagian sisi bagi mengelakkan ia mengganggu prestasi enjin yang lain akibat gas yang dilepaskan.

4. Rotor – Semua kuasa ini dihantar kepada 2 rotor sebesar 35 meter diameter, dan setiap rotor lengkap dengan 5 set bilah kipas. 2 set rotor ini akan berputar pada arah bertentangan (satu lawan jam dan satu ikut jam) bagi membatalkan tork yang dijana oleh kipas.

5. Halaju – semua kuasa ini membolehkan MiL V-12 terbang pada halaju maksimum 260km/jam tapi halaju normal ialah 240km/jam. Ketinggian maksimum helikopter ini ditetapkan pada 3500 meter dengan jarak penerbangan 500km. Jika diperlukan ia boleh menggunakan tangki luar bagi menggandakan jarak penerbangan sehingga 1000km

6. Krew – bagi membolehkan MiL V-12 ini terbang, sebanyak 6 orang krew diperlukan. Mereka terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, jurutera penerbangan (berada di kokpit bawah), juruteknik elektrik, pemandu arah dan operator radio (berada di kokpit atas).

7. Proses R&D lama – keboleh upyaan projek ini dimulakan pada tahun 1959, diteruskan pada tahun 1962 dan prototaip pertama dihasilkan pada tahun 1965. Hanya pada tahun 1968 barulah prototaip pertama V12 berjaya diterbangkan dan dihantar ke Paris untuk dipertontonkan semasa Paris Air Show.

Tapi menjelang tahun 1971, teknologi dalam bidang angkasa lepas dan juga bom nuklear menjadi bertambah baik. Blok barat boleh menghantar satelit ke angkasa bagi mengintip USSR. Ini memaksa USSR membaiki rekaan bom nuklear mereka menjadi lebih baik, lebih kecil sehingga mampu diangkut dengan lori sahaja. Ia lebih mudah dan murah berbanding dengan helikopter dan keretapi

8. Jadi muzium – keadaan ini menyebabkan MiL V-12 menjadi tidak lagi relevan kepada tentera walaupun 2 buah prototaip telah dihasilkan dan lulus dengan cemerlang. Pada tahun 1974, semua program pembangunan helikopter ini dihentikan dan 1 unit prototaip dihantar ke Central Air Force muzium di Moscow untuk dipamerkan. Satu lagi unit kekal di MiL Moscow Helicopter Plant

Ya selain Antonov An-225 yang pernah dihasilkan khusus untuk membawa kapal angkasa USSR, USSR juga pernah menghasilkan MiL V-12, memenuhi semua keperluan objektif rekabentuk tapi akhirnya projek ini berakhir sebagai bahan pameran.

Google ads
Back to top button