
DUCATI DESERTX DENGAN ENJIN V2 DIUMUMKAN – TANPA DESMO, 110HP
Selepas mempamerkan prototaip di EICMA 2025, Ducati dengan rasminya melancarkan Ducati DesertX generasi kedua untuk pasaran global.
Enjin

Fokus utama DesertX baharu ini terarah kepada ruangan enjin yang kini turut dikuasakan platform V-Twin 890cc yang sama terdapat pada Panigale V2, Streetfighter V2, Hypermotard V2 dan Monster V2.
Enjin ini menawarkan 110hp pada 9,000rpm dan tork puncak sekitar 92Nm pada 7,000rpm.
Menurut Ducati, DesertX generasi kedua ini terhasil daripada maklum balas yang diterima dalam tempoh beberapa tahun ini termasuk penyertaan di perlumbaan yang ekstrim antaranya Erzbergrodeo, Rally of Albania, Transanatolia dan NORRA Mexican 1000 Rally yang memakan jarak sejauh 1,500km.
Elektronik

Selain enjin, antara naik taraf diterima termasuk sistem quickshifter 2.0 terbaru yang didatangkan secara standard serta Cornering ABS empat peringkat.
Ducati menjelaskan bahawa Level 1 dan 2 direka khas untuk kegunaan off-road.
“Level 1 untuk rider yang laju di permukaan off-road sementara Level 2 membolehkan rider kurang pengalaman untuk membiasakan diri dengan tunggangan off-road,” jelas Ducati.
Sementara itu, Level 3 dan 4 pula adalah khas untuk kegunaan jalan raya. ABS juga boleh dipadamkan namun hanya dalam mod Enduro atau Rally. Selain itu terdapat empat lagi mod yang merangkumi Sport, Touring, Urban dan Wet.

Segala maklumat boleh diakses menerusi meter TFT 5-inci dengan tiga mod paparan (Road, Road Pro dan Rally). Untuk makluman, Ducati turut beralih dari meter vertical kepada horizontal berbanding model sebelumnya.
Selain Cornering ABS, DesertX baharu ini turut dilengkapi dengan Ducati Traction Control (DTC), Wheelie Control (DWC) dan Engine Brake Control (EBC). Setiap ciri elektronik ini mempunyai tahap tetapan yang boleh diselaraskan mengiktu kesesuaian.
Casis

Dalam pada itu, motosikal adventure ini juga didatangkan dengan tangki jenis polimer berkapsiti 18-liter dan menyumbang kepada berat keseluruhan sekitar 209kg (tanpa bahan api). Menariknya, Ducati turut mereka semula kerangka monocoque agar aliran udara ke kotak udara lebih optimum.
Brek pula dikendalikan Brembo M4.32 yang dipadankan bersama cakera 305mm depan. KYB membekalkan fork 46mm di bahagian depan dengan fungsi pelarasan penuh yang menawarkan jarak gerak 230mm. Monoshock belakang juga dengan pelarasan penuh dan menawarkan jarak gerak 220mm.

DesertX ini turut menawarkan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang dan dipadankan bersama tayar Pirelli Scorpion Rally Street seperti generasi sebelumnya.
GALERI: DUCATI DESERTX 2026

























