
DUCATI DIAVEL V4 2023 MUNCUL SEBAGAI PENGGANTI DIAVEL 1260 – JAHAT NI BOSSKU
Ducati secara rasminya mengumumkan model Diavel 1260 telah digugur dan digantikan oleh Diavel V4 serba baharu.
Menggunakan nadi Granturismo V4, Diavel ini dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 168 hp dan 126 Nm, serta dipadankan dengan teknologi nyahaktif silinder bertujuan untuk penjimatan bahan api dan juga pengurangan emisi.

Dari segi luaran, Ducati Diavel V4 ini membawakan elemen rekaan C berkembar pada unit lampu depan dan belakang, diikuti dengan pemasangan fork hadapan USD boleh laras 50 mm dan penyerap hentak tunggal boleh laras sepenuhnya di bahagian belakang.
Sistem brek terdiri daripada angkup brek Brembo Stylema diikuti dengan rotor berkembar 330 mm untuk roda hadapan, dibantu dengan fungsi keselamatan cornering ABS, Traction Control, Wheelie Control, Cruise Control, Launch Control dan Ducati Quick Shift.

Segala informasi boleh dibaca dan diakses menerusi skrin paparan TFT bersaiz lima inci, selain menyokong sambungan Bluetooth, empat mod tunggangan dan opsyen sistem navigasi.
Khusus untuk mereka yang mahukan jentera yang lebih mesra pengguna, terdapat penawaran aksesori untuk Diavel V4 termasuklah tempat menyandar untuk penumpang belakang dan kotak pannier sisi.








