" "
Buletin

DUCATI DIAVEL V4 BLACK ROADSTER LIVERY 2025, KUNING RIASI HITAM

Tahukah anda? Diavel merupakan motosikal cruiser kedua Ducati selepas Indiana yang diperkenal pada 1986 ketika berada di bawah Cagiva.

Indiana berkonsepkan chopper manakala Diavel pula cruiser ala kacukan motosikal naked dan ‘low rider’.

Sejak diperkenal pada 2011, Diavel berjaya memikat pengguna termasuk di dalam negara. Rekaannya unik dengan badan berotot, naked, sporti dan gaya duduk hampir tegak.

Model terbaru Diavel V4 sudah pun dilancar di pasaran tempatan pada September 2023.

Ini pula buah tangan terbaru untuk model 2025 iaitu Diavel Black Roadster Livery. Perbezaan terletak pada grafik baharu yang direka Centro Stile Ducati.

Bukan sekadar rekaan, grafik ini merujuk kepada sejarah Ducati dan Diavel. Warna Racing Yellow pada tangki, panel sisi dan ekor menaikkan seri dengan latar belakang hitam dan titanium. Pelana juga mempunyai balutan baharu. 

Menurut Ducati, Diavel V4 dipengaruhi kereta muscle dan ibarat ahli sukan yang bersedia untuk beraksi dengan sebahagian badan ditumpukan di depan dan langsing di belakang.

Satu lagi yang menarik ialah gugusan lampu LED lampu belakang yang ditempatkan di bawah ekor.

Diavel V4 digerakkan enjin 1,158 cc V4 Granturismo dengan ciri teknikal yang disesuaikan dari Desmosedici di dalam MotoGP. Enjin menghasilkan 168 kuasa kuda (hp) dan 126Nm. 

Empat muncung ekzos yang keluar dari kiri melambangkan ciri maskulin dan menambah tarikan. Rekaan rim lima bilah berlubang dengan tayar ‘gemuk’ saiz 240/45 di belakang turut menonjolkan motosikal ini.

Black Roadster Livery sudah pun sedia untuk dipesan pelanggan di United Kingdom dengan tambahan 300 pound (RM1,691) untuk Diavel V4 yang berharga 24,295 pound (RM137,044).

Sebagai perkongsian, Diavel V4 pasaran tempatan dengan warna Thrilling Black dijual lebih tinggi berbanding Ducati Red. 

Google ads
Back to top button