Buletin

GAC GS3 EMZOOM BUKTI DNA SPORTY DENGAN CATATAN BAWAH TIGA MINIT DI SEPANG

WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), pengedar rasmi GAC Motor di Malaysia, membuktikan keupayaan sporty GAC GS3 EMZOOM apabila model SUV segmen-B itu berjaya mencatat masa bawah tiga minit di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.

Menerusi program pemanduan defensif eksklusif yang dianjurkan di litar berprestij berkenaan, GS3 EMZOOM mencatat masa 2 minit 57 saat bagi satu pusingan penuh, sekali gus menyerlahkan keupayaan pengendalian dinamik, kestabilan serta prestasi enjin turbo dalam keadaan pemanduan mencabar.

Program yang berlangsung di bawah kempen “Built To Outdrive” itu turut mendapat sokongan Continental sebagai rakan tayar rasmi. Kerjasama tersebut dilihat selari dengan fokus kedua-dua jenama terhadap aspek prestasi, keselamatan dan keyakinan pemanduan.

Acara berkenaan diadakan susulan pelancaran versi dipertingkatkan GS3 EMZOOM di Malaysia yang tampil dengan pembaharuan gaya luaran, namun masih mengekalkan karakter sporty serta prestasi pemanduan yang menjadi identiti model itu.

Sepanjang program, wakil media dan pengedar GAC berpeluang menyertai pelbagai modul pemanduan yang direka khas bagi menguji ketepatan stereng, kestabilan membrek, kawalan arah serta keseimbangan casis dalam situasi berbeza.

Antara cabaran yang disediakan termasuk ujian slalom bagi menguji kelincahan SUV itu ketika pertukaran arah pantas, selain latihan membrek kecemasan dan mengelak halangan untuk menilai kestabilan kenderaan dalam situasi mendadak.

Peserta turut menjalani latihan pengendalian dan pertukaran lorong bagi melihat bagaimana sistem kawalan kestabilan elektronik berfungsi ketika pemanduan agresif.

Program berkenaan diakhiri dengan sesi konvoi di Litar Sepang bagi merasai sendiri kestabilan GS3 EMZOOM pada kelajuan tinggi.

Kemuncak acara pastinya demonstrasi “hot lap” oleh tenaga pengajar perlumbaan profesional yang memandu GS3 EMZOOM mengelilingi litar sepanjang 5.543 kilometer itu dalam masa kurang tiga minit.

Pencapaian tersebut memperlihatkan kemampuan SUV berkenaan mengekalkan kestabilan menerusi kombinasi laluan lurus berkelajuan tinggi dan selekoh teknikal yang mencabar di Sepang.

GS3 EMZOOM dikuasakan enjin 1.5 liter turbo yang menghasilkan 177PS dan 270Nm tork, dipadankan dengan transmisi Wet Dual Clutch tujuh kelajuan.

Model itu mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh lapan saat dengan kelajuan maksimum mencecah 190 kilometer sejam.

Selain prestasi, GS3 EMZOOM turut menawarkan pelbagai ciri moden termasuk kokpit digital dwi-skrin, bumbung suria panoramik, kamera 360 darjah, sistem bantuan pemandu termaju Tahap 2 (ADAS) dan Full Automatic Parking Assist (FAPA).

GS3 EMZOOM versi dipertingkatkan ditawarkan pada harga bermula RM116,800 bagi varian Exclusive dan RM126,800 untuk Premium R (atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia), selain rebat sehingga RM24,500.

Google ads
Back to top button