Buletin

KOS SERVIS PERODUA 10% LAGI MURAH MULAI 19 JUN

Rawang, 18 Jun: Perodua menawarkan pengurangan harga ke atas alat ganti komponen penyelenggaran, termasuk kos buruh sebanyak 10 peratus (tertakluk kepada terma dan syarat) dalam usahanya membantu rakyat Malaysia berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Pengurangan harga itu tertakluk kepada harga alat ganti komponen penyelenggaran serta kos buruh yang dikenakan kepada pelanggan, dan secara keseluruhannya, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sebanyak 10% daripada jumlah bil penyelenggaraan mereka bermula esok (19 Jun).

“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk datang ke pusat servis bertauliah Perodua bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini serta menggunakan alat ganti tulen untuk kenderaan Perodua anda agar ia boleh kekal cekap dan dipercayai sepanjang masa,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Kami percaya penurunan kos penyelenggaran ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka, dan kami di Perodua menjalankan tanggungjawab kami untuk memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan kami,” tambahnya.

Kempen ini ditawarkan kepada semua model kenderaan Perodua termasuklah QV-E, daripada aspek pemeriksaan, gantian komponen serta kos buruh yang berkaitan dengan penyelenggaraan kenderaan.

“Berdasarkan data dalaman kami, terdapat lebih daripada 5 juta kenderaan Perodua di atas jalan dan kami percaya menerusi kempen ini, kami boleh memberikan servis penyelenggaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” kata Dato’ Sri Zainal.

Untuk 2025, sejumlah 3.7 juta kenderaan diselenggara di pusat servis Perodua seluruh negara. Baru-baru ini, Perodua mengurangkan harga kenderaan EV pertamanya – QV-E kepada RM93,999 untuk pemilikan penuh atau RM69,999 menerusi pakej Battery as a Service (BAAS) dengan tambahan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama 9 tahun.

Untuk tempoh terhad, Perodua memberikan harga khas sebanyak RM87,499 untuk pemilikan penuh QV-E atau RM63,499 dengan pakej BAAS dengan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama 9 tahun. Tawaran ini akan berakhir 30 September 2026.

“Kami telah menambah baik kecekapan dan dalam masa yang sama mengurangkan pembaziran di dalam operasi kami. Manfaat-manfaat yang diperoleh daripada aktiviti turut dikongsi bersama dengan pelanggan-pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Untuk maklumat lanjut berhubung terma dan syarat, sila lawati pusat servis Perodua berhampiran dan dapatkan khidmat nasihat daripada penasihat jualan kami atau lawati laman web Perodua di www.perodua.com.my.-tamat

Google ads
Back to top button