
LEXUS ES GENERASI KE-8 DIPERKENAL — HADIR DENGAN VERSI EV, JARAK GERAK SEHINGGA 670KM
Lexus memperkenalkan generasi kelapan ES serba baharu dengan perubahan paling besar dalam sejarah model sedan mewah itu, termasuk kemunculan varian elektrik sepenuhnya yang mampu bergerak sehingga 670 kilometer bagi satu cas penuh.
Model baharu ini dibangunkan sebagai sedan premium moden yang memberi penekanan terhadap keselesaan, kehalusan pemanduan serta teknologi elektrifikasi, sejajar dengan peralihan Lexus ke era mobiliti elektrik.
Selain varian hibrid, Lexus turut menawarkan pilihan EV sepenuhnya buat pertama kali untuk keluarga ES.

Rekaan luaran ES generasi baharu tampil lebih aerodinamik dan elegan dengan falsafah reka bentuk dikenali sebagai “Provocative Simplicity”.
Profil sisi direka dengan garis badan lebih kemas dan seimbang, sekali gus memberikan penampilan lebih sporty serta mewah, selain membantu mengurangkan rintangan angin demi meningkatkan kecekapan tenaga.
Bahagian kabin turut menerima perubahan besar menerusi pendekatan minimalis yang lebih moden. Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah sistem pencahayaan dalaman dengan enam tema berbeza, termasuk elemen “Bamboo Ambient Light” yang diinspirasikan daripada sentuhan kemewahan Jepun tradisional.
Lexus turut memperkenalkan “Responsive Hidden Switches”, iaitu suis kawalan pintar yang disepadukan terus ke dalam kemasan panel dalaman bagi menghasilkan suasana kabin yang lebih bersih dan premium.

Bagi varian elektrik ES350e, Lexus menawarkan pakej eksklusif “Rear Comfort Package” yang memfokuskan pengalaman penumpang belakang.
Ia merangkumi tempat duduk belakang boleh laras secara elektrik, perehat kaki jenis Ottoman, serta fungsi automatik yang menggerakkan kerusi penumpang hadapan untuk memberikan ruang kaki lebih luas.
Lexus turut membezakan ES baharu menerusi dua pilihan sistem rangkaian kuasa:
Lexus ES350h (Hybrid)
- Enjin petrol generasi baharu bersama motor elektrik
- Pilihan pacuan roda hadapan (FWD) atau semua roda (AWD)
- Fokus kepada pemanduan lebih lancar dan penjimatan bahan api

Lexus ES350e (EV)
- Motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan (FWD)
- Jarak pemanduan maksimum sehingga 670 km bagi satu cas penuh
Lexus ES500e (EV AWD)
- Sistem dua motor elektrik dengan pacuan semua roda (AWD)
- Jarak pemanduan sehingga 636 km
Dengan kombinasi teknologi elektrifikasi, rekaan lebih moden dan kabin berorientasikan kemewahan, Lexus ES generasi kelapan dilihat sebagai langkah penting jenama Jepun itu dalam memperkukuh kedudukan mereka dalam segmen sedan premium elektrik global.
- BACA: GEELY EMGRAND i-HEV DILANCARKAN DI CHINA – PENGGUNAAN MINYAK SERENDAH 2.22L/100KM, HARGA MULA RM59K
- BACA: VERSI PRODUKSI RASMI JETOUR T1 TAMPIL DI KLIMS 2026 – DUA VARIAN, ANGGARAN HARGA MULA RM143K
- BACA: PAJERO BAKAL MUNCUL, GUN CESI TRITON
- BACA: SKUTER ADV KYMCO BAKAL JADI KENYATAAN MENERUSI CV-X45


