Artikel PilihanBuletin

EVO TOMMI MAKKINEN INI TERJUAL PADA HARGA RM 259 RIBU!

Ada tidak sesiapa yang memiliki Mitsubishi Lancer Evo VI Tommi Makinen Edition (TME)? Kalau ada, mohon kirim salam dan simpanlah dalam keadaan seasli mungkin.

Kenapa?

Sebab pada 2 September lepas pada acara Salon Privé Sale yang dianjurkan oleh Silverstone Auctions di Blenheim Palace, sebuah Evo TME berjaya dilelong pada harga GBP 46,688 atau bersamaan RM 259,274.73.

Perang bidaan bukan sahaja berlaku dalam bilik lelongan tetapi juga dalam internet menandakan tingginya nilai kereta Jepun itu di tanah Inggeris.

Silverstone Auctions menjangkakan Evo TME itu hanya akan dibida sehingga GBP 34,000 atau bersamaan RM 188,805.74 sahaja.

Sejarah Evo TME

Contoh Lancer ‘TME’ tempatan

Kehebatan Evo dalam dunia rali bermula pada tahun 90 an atau lebih tepat pada tahun 1996 apabila Tommi Makkinen dengan jentera Mitsubishi telah berjaya meraih kejuaraan pemandu WRC buat kali pertama.

Beliau adalah hero peminat rali masa itu dan berpegang kepada prinsip pemanduan ‘maximum attack’. 

Pada 1997, kejayaan Mitsubishi dalam dunia rali turut membantu mereka dalam menjual kereta dan ini telah terbukti apabila sebanyak 6,000 unit Evolution IV laris dalam masa tiga hari selepas dilancarkan!

Mitsubishi kemudian melancarkan siri Evo seterusnya dan pada lewat tahun 1999 sebuah edisi khas yang diberi nama Lancer Evolution VI ‘Tommi Makinen Edition’ (TME) dikeluarkan bagi meraikan kejuaraan pemandu WRC selama empat tahun berturut-turut dari tahun 1996.

Evo TME adalah versi ‘hardcore’ berbanding Evo VI biasa. Ia mempunyai pengecas turbo titanium (Hello Civic FK8R!), suspensi lebih rendah dan tegar yang ditala khusus untuk permukaan tar, stereng lebih cepat, ekzos berbeza, ECU baharu, dalaman transfer case yang diubahsuai, bampar rekaan baharu untuk penyejukan lebih baik dan roda aloi ‘trademark’ 17 inci Enkei WRC.

Contoh Lancer ‘TME’ tempatan

Bahagian dalaman turut berbeza, ia mempunyai kerusi Recaro dengan logo T.Makkinen dan stereng Momo sulaman benang merah.

Evo TME mampu memecut dari kosong hingga 96.5 km/j dalam masa 4.4 saat dengan kelajuan maksimum lebih dari 241 km/j. Kuasanya disebut-sebut melebihi 300bhp berbanding ‘perjanjian budiman’ 276 bhp.

Berbeza dengan sesetengah fahaman orang, Evo TME tidak dipasarkan dalam warna merah sahaja. Mitsubishi menawarkan lima jenis warna iaitu Passion Red, Canal Blue, Scotia White, Pyrenean Black dan Satellite Silver.  

Menjadikan Evo TME ini ‘rare’ ialah hanya 250 unit pelbagai warna sahaja yang diimport secara rasmi ke UK, 100 unit ke Australia dan selebihnya untuk pasaran Jepun.

Jika ada Evo TME yang mendarat ke Malaysia ia mungkin dibawa dari UK atau Jepun.

Evo TME Passion Red

Salah satu contoh Evo TME yang memang cun habis!

Mengikut data rasmi, hanya 50 unit Evo TME berwarna Passion Red di bawa masuk ke UK. Warna ini juga tampil dengan grafik khas yang dipanggil ‘Special Colour Package’ (SCP) di mana ia telah disiapkan dengan pelekat dari kilang (orievotme) dan pembuka pintu berwarna hitam.

Dalam lima warna Evo TME, hanya Passion Red sahaja mempunyai pembuka pintu hitam kerana apa? Sebab pelekat TME mempunyai dua warna iaitu hitam dan perak. Disebabkan tidak mahu warna tersebut terputus maka Mitsubishi menggunakan pembuka pintu hitam.

Di kalangan peminat Mitsubishi, mereka berpendapat bahawa hanya 212 unit #orievotme dengan skema warna SCP sahaja yang pernah dikeluarkan.

Evo TME  RM 259 ribu

Contoh Lancer ‘TME’ tempatan

Unit yang dilelong ini menjadi buruan disebabkan ia adalah #orievotme dengan skema warna SCP (salah satu dari 212 unit) dan diimport masuk secara rasmi oleh Ralliart UK.

Ori Evo TME ini mempunyai buku servis UK, meter kelajuan yang telah dikalibrasi, penghad minyak spesifikasi tanpa plumbum (unleaded-spec fuel restrictor), alternator dan bateri iklim sejuk dan mempunyai plak nombor edisi 017 yang dilekapkan dalam kereta. 

Kereta ini dijual kepada pemilik pertama oleh pengedar Marshall Mitsubishi of Cambridge.

Selain itu, ori EVO TME ini turut mempunyai sejarah servis lengkap termasuk data Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan jumlah perbatuan 30,000. Pemilik kedua membeli kereta ini pada 2010 dan menyelenggaranya dengan baik sebagai koleksi beliau.

Walaupun Mitsubishi UK/Ralliart membawa masuk kereta ini secara rasmi tetapi terdapat juga beberapa Evo TME yang diimport secara persendirian dari Jepun dengan pelbagai warna. Kereta tersebut walau bagaimanapun mempunyai perbatuan tinggi, telah diubahsuai dan tiada rekod sejarah.

Satu-satunya Evo TME SCP yang boleh dibandingkan dengan unit ‘rare’ ini ialah sebuah lagi Evo TME SCP yang dimiliki oleh Mitsubishi Heritage dengan nombor Y851 GHW.

Contoh Lancer ‘TME’ tempatan

Unit tersebut digunakan Mitsubishi untuk tujuan media atau acara khas. Unit Y851 GHW didatangkan dengan nombor siri 006 dan didaftarkan di UK pada 14 June 2001 manakala Evo TME SCP dengan nombor siri 017 ini didaftarkan pada 16 Julai 2001. 

Unit Y851 GHW lebih istimewa dengan jarak perjalanan hampir 10,000 batu dan mempunyai autograf Tommi Makkinen pada bonetnya.

Dengan keadaan sangat baik, unit yang terhad dan model rasmi UK tidak hairanlah kenapa Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition SCP nombor 017 ini dibida pada harga yang sangat tinggi!

BACA: MITSUBISHI LANCER EVOLUTION TOMMI MAKKINEN – PADU!

BACA: MITSUBISHI GRANDIS CHARIOT RALLIART

Google ads
Back to top button