FALKEN TAMPIL TEKNOLOGI 4D NANO DESIGN. SEMAKIN POPULAR UNTUK KEGUNAAN 4X4
Memilih tayar yang tepat untuk kenderaan bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan tawaran jenama yang cukup luas di pasaran, pengguna pasti keliru ketika hendak membuat pilihan.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan wujudnya pelbagai jenama baharu yang tidak diketahui kualiti dan ketahanannya.
Jadi, pilih sahaja jenama yang sudah terbukti keupayaannya seperti Falken. Baru-baru ini, saya berpeluang menemuramah wakil daripada Falken Malaysia iaitu Ketua Falken UHP Tyre, En. Ku Seng Yeow dan Ketua Falken 4×4 Tyre, En. Frankie Kong untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tayar jenama Falken dan apa yang mereka tawarkan untuk pengguna tempatan.
Berikut adalah intipati temuramah tersebut:
MM: Falken dikenali sebagai jenama tayar kereta penumpang di Malaysia. Ada rancangan untuk memperkenalkan tayar untuk kegunaan kenderaan komersial?
Frankie: Untuk tahun 2021, kami merancang untuk memperkenalkan tayar komersial iaitu Falken LINAM VAN01 bagi kegunaan van seperti Toyota Hiace dan Nissan NV200. Di samping tayar untuk trak tugas ringan satu dan tiga tan, trak prime mover serta treler.
Tayar-tayar ini didatangkan dengan teknologi dan reka bentuk baharu. Falken kini menggunakan teknologi 4D Nano Design yang memaksimumkan prestasi dalam tiga aspek iaitu penjimatan bahan api, cengkaman di atas jalan basah dan tahan haus.
Tayar LINAM VAN01 menawarkan ketahanan dan tahap keselamatan luar biasa dengan jarak lebih jauh untuk semua penggunaan atau aplikasi, berbanding tayar sebelum ini.
Kalau dilihat pada jenama tayar lain terutama dari China, mereka masih menggunakan teknologi 3D. Buat masa sekarang, Falken menggunakan teknologi 4D yang merupakan inovasi tercanggih dalam pembuatan tayar.
MM: Falken ialah satu jenama tayar yang sudah kukuh di Malaysia. Apakah impak COVID-19 ke atas industri tayar di negara ini?
Frankie: Di Malaysia, tayar Falken diedar oleh syarikat Stamford Tyres selama lebih 30 tahun.
Berbeza dengan pengeluar tayar yang lain di Malaysia, mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran di kilang dan bekalan tayar masing-masing ke pasaran.
Terima kasih kepada sokongan pengilangan Falken yang kukuh, kami dapat menawarkan bekalan tayar yang konsisten sepanjang tempoh COVID-19. Untuk makluman, kami mengimport tayar dari kilang di Jepun, Thailand dan Indonesia.
Kilang Falken juga menggunakan automasi sepenuhnya. Setakat ini pengeluaran tayar di ketiga-tiga kilang terbabit tidak terjejas, malah berada dalam kapasiti penuh.
Jadi, perniagaan kami jadi lebih baik terutama sejak bulan Mei berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
B. Falken Azenis FK510
MM: Falken Azenis FK510 dikenali sebagai tayar berprestasi tinggi. Boleh terangkan tentang kriteria keselamatan yang ditawarkannya terutama pada permukaan kering dan basah?
En. Ku: Azenis FK510 ialah tayar top range Ultra High Performance (UHP) untuk kegunaan SUV dan kereta penumpang. Ia menggunakan teknologi 4D Nano Design dan hanya dihasilkan di Jepun.
Tayar ini juga menerima banyak anugerah di Eropah. Misalnya ujian tayar musim panas di Jerman, ujian bunyi bising, pengendalian, ujian brek, cengkaman dan banyak lagi.
MM: Falken FK510 merupakan sebahagian daripada rangkaian tayar Azenis UHP. Apakah teknologi yang digunakan pada Azenis FK510?
En. Ku: Tayar Azenis FK510 menggunakan teknologi 4D Nano Design, Teknologi Kawalan Regangan (TCT) dan Adaptive Constant Pressure (ACP). Teknologi 4D Nano Design berfungsi mengoptimumkan kompoun berprestasi tinggi baharu pada tahap molekular serta meningkatkan cengkaman di atas permukaan jalan yang basah.
Teknologi TCT menambah baik keupayaan pengendalian kenderaan menerusi corak bunga luaran dan bahagian dinding tayar yang kukuh. Penggunaan material undertread hibrid pula ia menawarkan kestabilan yang lebih meyakinkan.
Untuk menghasilkan tayar yang bagus dari segi cengkaman dan senyap, corak bunga memainkan peranan penting. Jadi, teknologi 4D Nano Design membolehkan tayar menggunakan material yang sesuai dengan prestasi dan menghasilkan reka bentuk yang tidak mengeluarkan bunyi bising.
Ini membuatkan banyak model SUV berprestasi tinggi seperti Porsche Macan menggunakan FK510A SUV sebagai tayar OE (original Equipment) iaitu dengan saiz tayar hadapan 235/60R18 dan belakang 255/55R18.
MM: Apakah saiz yang ditawarkan untuk Azenis FK510?
En. Ku: Tayar Azenis FK510 sudah berada dalam rangkaian pengedar sejak dilancarkan pada Ogos 2018 lagi. Manakala Azenis FK510 yang khas untuk SUV pula ditawarkan kepada pengguna sejak tahun 2019.
Kini, terdapat 116 saiz tayar untuk Azenis FK510 dan FK510 SUV yang boleh digunakan ada rim bersaiz 17 hingga 22 inci.
C. Falken Wildpeak AT3W
MM: Falken tidak dikenali sebagai tayar untuk jentera 4X4 sebelum ini. Tetapi tayar Wildpeak semakin mendapat maklum balas positif daripada pengguna. Apakah perubahan yang telah dilakukan ke atas tayar ini?
Frankie: Falken cuba untuk meningkatkan reputasinya dalam industri tayar 4X4 di pasaran Amerika Syarikat (AS). Untuk menembusi pasaran AS, kami perlu bersaing dengan jenama-jenama paling popular di sana.
Jadi, Falken membangunkan rangkaian tayar Wildpeak AT3W & MT01. Apabila Falken memperkenalkan teknologi 4D Nano Design ke dalam produk tayar 4X4, Falken Wildpeak berjaya mengubah pasaran di seluruh dunia dan menjadi peneraju dalam teknologi tayar 4X4.
Berikutan populariti di AS, Falken Wildpeak AT3W semakin dikenali dalam kalangan peminat 4X4 di Malaysia.
MM: Adakah anda rasa bahawa semua tayar All Terrain (AT) perlu kelihatan agresif seperti tayar Mud Terrains (MT)?
Frankie: Pengguna mahu jentera 4X4 mereka kelihatan rugged, tetapi pada masa yang sama boleh dipandu dengan pantas di bandar seperti di Kuala Lumpur. Jadi, tayar ini boleh memenuhi keperluan tersebut kerana ia nampak garang dan tidak bising apabila dipandu.
Falken Wildpeak AT3W juga didatangkan dengan tiga teknologi terkini dan 10 kelebihan unik berbanding jenama lain.
MM: Apakah pesaing utama tayar ini? Kenapa pemilik SUV dan 4X4 perlu memilih Wildpeak AT3W?
Frankie: Buat masa sekarang, pesaing utama kami ialah jenama dari AS. Tetapi, memandangkan Wildpeak AT3W mendapat rebiu yang positif daripada pemilik dan kelab 4X4, tidak sukar untuk kami menembusi pasaran Malaysia.
Pemilik SUV dan 4X4 patut memilih Wildpeak AT3W kerana ia padat dengan pelbagai teknologi demi memenuhi keperluan pengguna yang berbeza di Malaysia.
Lagipun, mereka tidak akan dengar cadangan daripada penjual tayar 100 peratus, sebaliknya lebih percaya kepada rebiu kawan, ahli kelab 4X4 dan rebiu di internet.
MM: Bagaimana pula dengan harga dan saiz untuk Wildpeak AT3W?
Frankie: Sudah pasti harga Wildpeak AT3W lebih murah berbanding tayar jenama paling terkenal AS dan sebagainya. Kalau dibandingkan dengan jenama tayar dari Jepun pula, kami menawarkan rangkaian penuh untuk saiz tayar 4X4. Bermula dari 15 hingga 20 inci dengan pelbagai saiz.
Harga Wildpeak AT3W dengan tayar jenama Jepun sebenarnya tidak jauh berbeza.
Lagi pun, pasaran tayar AT di Malaysia adalah jauh lebih besar iaitu sekitar 80 peratus berbanding tayar MT dan HT. Sebab itulah kami ingin memaksimumkan penawaran saiz tayar AT kepada pengguna di sini.