
FORD CAPRI KINI MUNCUL SEBAGAI SUV EV – JARAK GERAK 627KM, HARGA BERMULA RM263K
Ford sekali lagi menghidupkan semula nama terkenal Eropah, kali ini dengan memperkenalkan model baharu Capri.
Jika anda masih tergilakan dari coupe fastback yang dijual antara akhir 1960-an hingga pertengahan 1980-an, mungkin anda perlu menelan hakikat bahawa Ford Capri 2024 hadir sebagai sebuah SUV elektrik sepenuhnya (EV).
Capri baharu ini merupakan varian coupe daripada Ford Explorer elektrik sepenuhnya yang dijual di Eropah.
Kedua-duanya dibina di atas platform MEB Volkswagen, sama seperti Volkswagen ID.5 manakala Explorer adalah versi ID.4 yang direka semula.

Dengan panjang 182.4-inci, lebar 73.7-inci, dan tinggi 64-inci serta jarak roda 109-inci, Capri baharu hampir sepadan dengan VW ID.5.
Tambahan, Ford akan menjual SUV elektrik ini dengan rim standard 19-inci, tetapi set 20 dan 21-inci turut akan tersedia.
SUV ini juga menampilkan kabin yang hampir sama dengan Explorer, termasuk skrin sentuh menegak 14.6-inci, skrin paparan instrumen digital 5-inci dan ruang storan ‘MegaConsole’ pada konsol tengah berkapasiti 17 liter.
Varian Extended Range mempunyai susun atur pacuan roda belakang dengan satu motor elektrik berkuasa 286PS dan tork 545Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat.

Melalui bateri NMC berkapasiti 77kWj, ia menawarkan jarak gerak 627km dalam kitaran ujian WLTP.
Versi pacuan semua roda, Extended Range AWD yang lebih pantas mendapat sepasang motor, menghasilkan 340PS dan tork 545Nm, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 5.3 saat.
Model ini dipadankan bersama bateri NMC kapasiti lebih besar 79kWj, memberikan jarak gerak sejauh 592km dalam kitaran ujian WLTP.
Bagi pengecasan, model dengan bateri kapasiti 77kWj mendapat pengecasan DC 135kW, manakala 79kWj pula menerima pengecas pantas DC dengan kapasiti lebih tinggi iaitu 185kW.

Jadi ini bermakna 10-80 peratus masing-masing dalam 28 minit dan 26, dan kedua-duanya mendapat pengecas AC maksima 11kW.
Untuk keselamatan pula, Ford Capri 2024 dilengkapi fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, amaran lintasan trafik, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan kamera undur.
Untuk pembeli yang memilih pilihan Driver Assist Pack, beberapa ciri akan ditambahkan antaranya; paparan head-up, bantuan parkir aktif, bantuan kekal tengah lorong, bantuan tukar lorong serta kamera 360-darjah.
Capri akan dipasang di Cologne, Jerman dengan harga bermula AS$56,180 (RM263,351), menjadikannya AS$2,650 (RM12,422) lebih mahal berbanding Explorer.
GALERI:




