
KENAPA ENJIN DIESEL WAJIB ADA TURBO?
Jika anda perhatikan enjin diesel moden, hampir semua enjin diesel yang ada dan dijual pada hari ini akan dipasang dengan menggunakan turbo. Namun dengan kemajuan teknologi motor elektrik, sistem hibrid dan teknologi bateri, sebenarnya semakin kurang pengeluar memilih untuk menggunakan enjin diesel pada kenderaan dalam memenuhi peraturan pelepasan asap
Namun satu ketika dulu, enjin diesel dipilih untuk digunakan pada SUV dan MPV besar kerana ia lebih efisyen berbanding dengan enjin petrol. Malah untuk membawa beban yang berat, enjin diesel lebih sesuai kerana ia mampu menghasilkan tork yang lebih tinggi
Tapi adakah anda perasan yang enjin diesel yang digunakan dipasang dengan sistem turbo?
Enjin diesel beroperasi dengan cara yang berbeza daripada enjin petrol, tidak menggunakan palam pencucuh bagi memulakan proses pembakaran. Sebaliknya enjin diesel menggunakan kaedah pembakaran tekanan tinggi, menggabungkan tekanan tinggi dan suhu tinggi untuk memulakan proses pembakaran
Keadaan ini disebabkan diesel memiliki sifat sukar untuk meruap berbanding dengan petrol, hanya meruap pada suhu 52 darjah celcius untuk berubah sifat daripada cecair menjadi wap. Bagi memudahkan diesel terbakar dengan lebih pantas, enjin diesel akan memampatkan udara pada tekanan tinggi, dengan nisbah mampatan tinggi bagi menjana tork yang tinggi
Enjin diesel juga direka dengan saiz lejang yang lebih panjang berbanding dengan enjin petrol bagi menghasilkan tork yang lebih baik. Namun keadaan ini akan memaksa piston “bekerja” lebih keras untuk mengekstrak kuasa daripada diesel.
Secara logiknya, enjin diesel aspirasi normal akan berasa tidak cukup berkuasa dan memerlukan masa yang lebih lama untuk mendapat momentum. Untuk pembakaran berlaku dengan lebih efisyen dan sepenuhnya, enjin diesel juga beroperasi pada RPM yang lebih rendah. Secara tidak langsung NVH enjin diesel menjadi semakin rendah
Sekiranya enjin diesel beroperasi pada RPM tinggi, ia akan menjana gegaran pada frekuensi yang tinggi hasil daripada derapan operasi enjin diesel. Bagi mengelakkan enjin ini menjadi “lemau” ketika dipandu di bandar, maka sistem turbo akan dipadankan pada enjin diesel ini
Turbo pada enjin diesel membenarkan enjin untuk menjana lebih banyak kuasa dan juga tork. Turbo juga membantu meningkatkan kecekapan thermal enjin, dengan menggunakan haba terbuang dari sistem ekzos untuk menggerakkan turbin
Sistem turbo juga membantu mengurangkan pelepasan asap berbahaya dengan memastikan enjin membakar diesel dengan lebih efisyen dan cekap.
Bayangkan jika anda memandu enjin diesel tanpa turbo, pecutan yang dihasilkan mungkin mengambil masa 20 saat. Keadaan ini menyebabkan situasi seperti memotong lori ataupun menyeberangi jalan menjadi bahaya