Artikel Pilihan

ARIEL NOMAD 2 – PENYELESAIAN KEPADA JALAN BERLUBANG DAN BONGGOL HARAM

Bayangkan anda sedang memandu sambil menikmati hembusan bayu diiringi alunan lagu ciptaan Eddie Hamid tiba-tiba kereta anda termasuk dalam lubang yang agak dalam. Tak ke potong stim dan lebih teruk lagi anda mungkin tersalah sebut perkataan yang tak senonoh disebabkan terkejut.

Ya jalan berlubang dan bonggol haram dalam kawasan perumahan dan kampung memang dah menjadi identiti negara ini. Punyalah terer kita bab lubang ni, hari ni tampal esok dah berlubang balik. Tak kiralah lubang yang dikorek ataupun lubang akibat pekerjaan yang tidak teliti.

Itu baru bab lubang belum masuk bab bonggol lagi. Amboi kalau boleh yang duduk kawasan perumahan tu nak bonggol sorang satu depan rumah. Silap langgar boleh terkeluar tahi telinga boh.

Sampai bila nak hadap perkara ni? Ini mungkin satu jalan keluar yang bijak. Dapatkan sebuah Ariel Nomad 2. Rasa macam pernah dengar nama ni? Mestilah kerana ia merupakan adik kepada Ariel Atom yang dah lama popular.

Ariel Nomad 2 ini mungkin nampak serupa dengan Nomad sebelum ini tetapi ia sebenarnya serba baharu. Paling nyata sekali tentulah pertukaran enjin daripada enjin K24 Honda yang digabungkan dengan supercharger. Kini model baharu turut menerima enjin baharu 2.3 liter yang diambil daripada Ford Focus ST. Hasilnya ialah 305 hp kuasa yang membantu Atom 2 ini membuat pecutan 0-100 kmj hanya dalam masa hanya 3.4 saat!

Sudah tentu ia bukan dihasilkan untuk memecahkan rekod kelajuan Nurburgring. Tapi kalau mengharung jalan-jalan raya yang penuh lubang dan bonggol, Rimac Nevera pun tak mampu lawan Nomad 2 ni.

Tapi serius la, Nomad ni juga mempunyai keupayaan di semua permukaan jalan. Suspensinya disokong oleh spring Eibach di kesemua penjuru. Ia turut dilengkapkan dengan sistem transmisi sequential Quaife. Tak cukup lagi? Bagaimana dengan brek tangan hidraulik? Ya tuan-tuan dah macam jentera drift dan rali ni. Hebat-hebat.

Google ads
Back to top button