Buletin

TEMPAHAN LEXUS RZ 450e LUXURY DIBUKA – 308HP, JARAK GERAK 440KM, HARGA BERMULA RM429K

Lexus Malaysia mengumumkan tempahan untuk model elektrik terbaru mereka, Lexus RZ 450e, kini telah dibuka.

Dari segi dimensi, RZ 450e dengan kemasan Luxury ini mempunyai jarak roda 2,850mm dengan panjang keseluruhan 4,805mm, lebar 1,895mm, dan tinggi 1,635mm.

Selain itu, ia juga menawarkan ruang but sebesar 522 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,451 liter.

RZ 450e boleh didapati dalam enam pilihan warna menarik iaitu:

  • Sonic Quartz
  • Sonic Chrome
  • Sonic Iridium
  • Graphite Black
  • Sonic Copper
  • Aethar Metallic

Bahagian dalamannya pula tersedia dalam satu warna iaitu Grayscale Ultrasuede Leather dengan trim Tsuyasumi.

Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen 14-inci dan sistem audio surround 13-pembesar suara dari Mark Levinson, serta sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk pemandu, terdapat juga skrin instrumen digital 7-inci yang disertakan dengan paparan kepala (HUD).

Dari segi keselamatan, SUV elektrik ini dilengkapi dengan tujuh beg udara selain, terdapat pelbagai ciri yang termasuk dalam Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) yang dikenali sebagai Lexus Safety System+.

Antara ciri-ciri tersebut ialah Kawalan Radar Dinamik dengan fungsi Stop & Go dan Pengurangan Kelajuan Kurva, Bantuan Pengesanan Lorong, Amaran Keluar Lorong, Sistem Lampu Tinggi Adaptif, dan Sistem Pra-Pelanggaran Depan.

Ciri keselamatan aktif lain termasuklah Bantuan Tukar Lorong, Bantuan Tanda Jalan, Pemantau Titik Buta, Amaran Lalu Lintas Belakang, Sistem Parkir Lanjutan Lexus Teammate dan banyak lagi.

Beralih pada kuasa, model ini dibekalkan dengan dua motor elektrik, menghasilkan 308hp dan tork keseluruhan 435Nm.

Model pacuan semua roda (AWD) ini menggunakan platform e-TNGA yang sama dengan bZ4x dan Subaru Solterra, mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 5.3 saat dengan kelajuan maksimum 160km/j.

Dari segi bateri, RZ 450e menggunakan bateri lithium-ion 71.4kWh yang memberikan jarak perjalanan 440km mengikut penilaian WLTP.

Ia juga dilengkapi dengan pengecas onboard AC 11kW dan menyokong pengecasan DC sehingga 150kW.

Untuk harga pula, Lexus RZ 450e ditawarkan pada harga bermula RM429,888 dan dilindungi oleh waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Sementara, bateri voltan tinggi, inverter, dan ECU diberi waranti berasingan selama lapan tahun, tanpa had perbatuan.

Pelanggan juga akan menerima pakej percuma bernilai RM13,000 yang merangkumi pengecas dinding rumah, pengecas EV mudah alih, kamera papan pemuka, serta pelekat RFID.

GALERI:

Google ads
Back to top button