Buletin

FOTO INTIP: MITSUBISHI XFORCE KINI DI MALAYSIA, LANCAR TAK LAMA LAGI?

Nampaknya Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) semakin hampir melancarkan model SUV baharu untuk pasaran tempatan.

Berdasarkan visual spyshot yang dikongsi, unit yang dilihat dipercayai versi bukan hibrid. Ini memberi bayangan bahawa Malaysia mungkin menerima Xforce versi petrol konvensional terlebih dahulu, berbanding varian hibrid (HEV) yang kini ditawarkan di Thailand.

Untuk pasaran ASEAN, Mitsubishi Xforce membuat kemunculan global sulung di Indonesia pada Ogos 2023.

Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,390mm panjang, 1,810mm lebar dan 1,660mm tinggi, dengan jarak roda 2,650mm.

Dari segi rekaan, SUV ini tampil dengan ciri-ciri seperti bumbung terapung, arca fender yang berotot serta rekaan lampu berbentuk T di bahagian hadapan dan belakang, selari dengan identiti reka bentuk terkini Mitsubishi.

Di ruangan dalam, Xforce dijangka menampilkan papan pemuka rendah dengan rekaan bersegi dan kemasan fabrik, digandingkan dengan dua skrin utama – paparan meter digital bersaiz 8.0-inci serta skrin infotainmen 12.3-inci.

Sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar hadir sebagai ciri standard, manakala varian lebih tinggi di pasaran lain turut menawarkan sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium dengan lapan pembesar suara.

Beralih pada kuasa, Xforce yang bakal ditawarkan di Malaysia berkemungkinan menggunakan rangkaian kuasa sama seperti pasaran serantau lain – enjin 1.5 liter NA MIVEC empat silinder, sama seperti yang digunakan pada Xpander.

Nadi ini berupaya menghasilkan 105PS pada 6,000rpm dan tork 141Nm pada 4,000rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Dari sudut pemanduan, Xforce dilengkapi sistem Active Yaw Control (AYC) milik Mitsubishi yang mengagihkan daya pemanduan antara roda hadapan bagi meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

Turut ditawarkan ialah mod pemanduan Wet, direka khusus untuk meningkatkan kawalan dan keselamatan ketika memandu dalam keadaan hujan lebat atau jalan yang licin.

Aspek keselamatan pula lengkap dengan enam beg udara serta pelbagai sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif (ACC), lampu tinggi automatik, amaran titik buta dengan bantuan tukar lorong, dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Google ads
Back to top button