
GEELY RIDDARA RANCANG KILANG EV DI THAILAND, INTAI PASARAN MALAYSIA
Jenama trak pikap elektrik dari China, Riddara, yang berada di bawah naungan Geely, sedang meneliti kemungkinan membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Thailand bagi memanfaatkan pertumbuhan pasaran EV di negara itu.
Pengurus Besar Geely Riddara Thailand, Cao Feng berkata, segmen pikap di Thailand masih mempunyai ruang besar untuk model berkuasa bateri, walaupun jualan keseluruhan pikap ketika ini menunjukkan trend perlahan.
Menurutnya, dalam jangka panjang kenderaan elektrik dijangka terus mendapat tempat kerana menawarkan penjimatan tenaga berbanding model enjin bahan api konvensional.
Thailand merupakan negara pertama di luar China yang menjadi lokasi pengembangan jenama Riddara, sekali gus mencerminkan perancangan Geely menjadikan negara itu sebagai hab serantau Asia Tenggara.

Selain Thailand, Riddara sudah memulakan langkah pemasaran di Myanmar, Laos dan Filipina, di samping menilai peluang memasuki pasaran Malaysia.
Bagi tahun ini, syarikat menyasarkan jualan antara 3,000 hingga 5,000 unit di Thailand. Untuk mencapai sasaran itu, beberapa model baharu termasuk varian kabin tunggal akan diperkenalkan, menyasarkan pembeli komersial dan keluarga.
Pada 2025, Riddara merekodkan kira-kira 1,000 unit jualan di Thailand.
Dari segi rangkaian, syarikat itu turut merancang memperluas pusat jualan dan servis kepada 38 cawangan tahun ini berbanding 12 cawangan sebelumnya.

Bagaimanapun, pasaran automotif Thailand masih berdepan cabaran seperti kesukaran mendapatkan pembiayaan kenderaan, kuasa beli pengguna yang lemah serta ketidaktentuan ekonomi global.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Pemasaran Geely Riddara Thailand, Qian Gen memaklumkan kumpulan Geely mencatat jualan global melebihi 4.1 juta kenderaan pada 2025, meningkat 26 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus meletakkannya antara pengeluar automotif terbesar dunia.
Pada peringkat awal, Riddara merupakan satu-satunya pemain dalam segmen pikap elektrik di Thailand.
Namun, kemasukan pesaing baharu kini menjadikan persaingan semakin sengit seiring peralihan industri ke arah elektrifikasi.







