
HONDA e:N2 DILANCARKAN DI THAILAND TAK LAMA LAGI – JARAK GERAK 530KM, HARGA SEKITAR RM180K
Honda dijangka memperkenalkan model elektrik terbaharunya, Honda e:N2 ke pasaran Thailand apabila tempahan awal sudah dibuka menjelang pelancarannya di pentas Bangkok International Motor Show 2026 pada 23 Mac ini.
Model elektrik berkenaan ditawarkan pada harga sekitar 1.4 juta baht (kira-kira RM180,000) dan penghantaran kepada pelanggan dijadual bermula selewat-lewatnya 30 April.
Bagi menarik minat pembeli awal, Honda turut menyediakan beberapa insentif khas termasuk insurans komprehensif bernilai 37,764 baht (sekitar RM4,800), selain lanjutan jaminan dua tahun atau sehingga 40,000 km bersama pakej bantuan tepi jalan bernilai 31,000 baht (sekitar RM3,900).

Selain itu, pelanggan juga akan menerima pengecas rumah bernilai 60,000 baht (sekitar RM7,600) serta kabel pengecas mudah alih bernilai 9,500 baht (sekitar RM1,200) secara percuma.
Menariknya, 100 pembeli pertama turut akan diberikan skuter elektrik lipat Honda Motocompacto bernilai 65,000 baht (sekitar RM8,300) sebagai hadiah istimewa.
Dari segi dimensi, e:N2 mempunyai panjang 4,788mm, lebar 1,838mm dan tinggi 1,570mm, dengan jarak roda 2,733mm. Ketinggian dari tanah pula ditetapkan pada 142mm, menjadikannya lebih rendah berbanding kebanyakan model crossover.

Honda hanya menawarkan satu varian bagi model ini di Thailand. Ia digerakkan oleh motor elektrik yang dipasang di bahagian hadapan dengan kuasa maksimum 150kW dan tork 310Nm.
Tenaga dibekalkan oleh bateri berkapasiti 68.8kWh yang membolehkan jarak pemanduan sehingga 530km mengikut kitaran NEDC.
Dari sudut kelengkapan, e:N2 hadir dengan pelbagai ciri moden sebagai standard seperti rim aloi 18-inci, pintu belakang berkuasa dengan fungsi bebas tangan, tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan hala lengkap dengan ventilasi dan memori, serta tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat hala dengan ventilasi.

Ruang kabin turut dilengkapi paparan head-up dengan keluasan unjuran 11.5-inci, kluster instrumen digital 9.4-inci, sistem infotainmen skrin sentuh 12.8-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta sistem audio premium 12 pembesar suara daripada Bose.
Dari aspek keselamatan, model ini dibekalkan dengan pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Blind Spot Information, sensor parkir depan dan belakang, Cross Traffic Monitor, kamera 360 darjah serta Collision Mitigation Braking System.
Turut disertakan ialah Lane Keeping Assist System, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Low Speed Follow, Road Departure Mitigation bersama amaran keluar lorong, Lead Car Departure Notification dan Auto High-Beam.

Bagi perlindungan penumpang, e:N2 dilengkapi tujuh beg udara termasuk beg udara tengah di bahagian hadapan.
Pelancaran model ini dijangka mengukuhkan lagi kehadiran Honda dalam segmen kenderaan elektrik di rantau Asia Tenggara, dengan Thailand menjadi antara pasaran awal bagi model berkenaan.
- BACA: PIRELLI PERKENALKAN CINTURATO ROSSO DENGAN TEKNOLOGI SEAL INSIDE, SAIZ 16 HINGGA 23-INCI
- BACA: PROJEK RM10 JUTA MFORCE LAHIRKAN ‘SKUCHAI’ – GABUNGAN SKUTER, KAPCAI DAN CVT
- BACA: JPJ MELAKA SITA KENDERAAN MEWAH GUNA PLAT ‘SATU DIGIT’ MOTOSIKAL KAPCAI
- BACA: HONDA INSIGHT KEMBALI – KINI BERUBAH JADI CROSSOVER ELEKTRIK SEPENUHNYA







